Utama Komputer Western Digital tingkat ketumpatan Cip Memori 3D NAND, janjikan harga SSD lebih...

Western Digital tingkat ketumpatan Cip Memori 3D NAND, janjikan harga SSD lebih murah

911
0

Pengguna yang membuat pembelian baru untuk komputer desktop atau laptop kini mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakan SSD sahaja atau hard disk tradisional sahaja atau kedua-duanya sekali. SSD sememangnya diketahui umum jauh lebih pantas berbanding hard disk biasa disamping lebih jimat kuasa. Cuma apa yang kurangnya pada SSD adalah harganya masih lagi lebih mahal dan kapasitinya yang agak terhad.

Masalah ini dilihat bakal dipermudahkan apabila Western Digital bersama-sama rakan kongsi teknologi dan pembuatannya, Toshiba mengumumkan pencapaian besar di dalam cara menghasilkan kapasiti storan SSD yang lebih besar.

Julai tahun lalu, Western Digital telah memulakan penghasilan cip memori 3D NAND 256GB dan enam bulan kemudian, 3D NAND 512GB pula telah menyusul. Kedua-dua jenis cip memori 3D NAND ini dihasilkan di kilang pembuatan yang terletak di Yokkaichi, Jepun.

Ini bermakna Western Digital kini mampu menawarkan kapasiti dua kali ganda pada saiz faktor yang sama. Buat masa ini, harga SSD 2.5 inci adalah sekitar RM199 bagi berkapasiti 128GB hingga RM2059 untuk kapasiti 1TB, bergantung dengan model dan jenamanya. Terdapat juga model SSD bersaiz kecil seperti mSATA dan pemacu M.2 PCI-e yang boleh ditempatkan terus pada slot papan induk. Kesemuanya bakal mendapat manfaat dari teknologi penghasilan cip memori yang lebih baik ini termasuklah telefon pintar dan tablet.

Teknologi penghasilan ini dinamakan sebagai 3D NAND kerana lapisan-lapisannya disusun secara menegak (seperti rumah pangsa) bagi meningkatkan lebih banyak ruang untuk storan tanpa perlu memperbesarkan saiz cip. Setiap cip boleh menyimpan tiga bit untuk setiap sel dan mengandungi 64 lapisan.

Setakat ini masih belum ada lagi khabar berita berkenaan bilakah cip ini akan digunakan sebagai sebuah produk. Namun, pengguna tentunya akan menyambut baik berita ini kerana ia berpotensi akan menjadikan harga SSD lebih murah.

Sumber berita diperoleh dari Western Digital

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.