Baru-baru ini terdapat satu laporan yang mendakwa U Mobile telah mengenakan sekatan kelajuan terhadap pengguna pelan tanpa had jika had penggunaan melebihi 50GB dalam satu-satu kitaran bayaran.

Menurut laporan tersebut, peraturan terbaru ini telah mula dikuat kuasakan pada 21 Oktober lalu.

Berdasarkan foto yang kelihatan seperti dokumen edaran dalaman pihak U Mobile, polisi sekatan terbaru ini dikhususkan pada pengguna pelan GX50 dan GX50.

Menariknya, polisi ini sudah pun terkandung di dalam Polisi Penggunaan Adil (Fair Use Policy, FUP) U Mobile sebelum ini. Cuma, kadar sekatan kelajuan tertentu tidak dinyatakan secara umum di dalam dokumen polisi berkenaan.

Jika sekatan kelajuan sebelum ini adalah ditetapkan pada 1.5Mbps, sekatan terbaru ini telah ditetapkan pada 0.5Mbps (500kbps) menurut dokumen yang tertiris tersebut. Sebagai perbandingan, kadar kelajuan maksimum biasa yang dikenakan untuk pelan GX30 adalah 3Mbps, manakala GX50 adalah pada 5Mbps.

Dokumen tertiris berkenaan juga menyatakan sekatan tersebut hanya akan dikenakan pada pengguna yang melebihi had 50GB dari jam 8 malam hingga jam 1 pagi setiap hari.

Bagaimanapun, pengguna yang membuat pembelian Turbo Booster tidak akan terkesan dari sekatan kelajuan ini. Sekatan kelajuan apabila mencecah had 50GB ini akan diperbaharui mengikut kitaran pembayaran bil atau pembaharuan pelan prabayar pengguna.

Sumber maklumat diperoleh dari Winrayland

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.