Sejak mula diimplementasikan secara berperingkat bermula dari Disember 2017, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) secara rasminya telah melancarkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi pengecaman wajah pertama seumpamanya di Malaysia semalam. Diperkuasakan dengan kecerdasan buatan, sistem CCTV ini menggunakan teknologi dari IBM.
Direka khusus untuk memerangi kadar jenayah di dalam negeri Pulau Pinang, sistem ini turut digunakan untuk pengawasan kesalahan trafik dan juga paras air di kawasan berisiko banjir.
Buat masa ini sebanyak 767 buah kamera telah dipasangkan di kawasan Pulau Pinang dan sebahagian 130 buah kamera lagi dipasangkan di kawasan Seberang Perai. Tambahan sebanyak 150 dan 94 buah kamera lagi masing-masing sedang di dalam peringkat pemasangan di kedua-dua belah kawasan negeri.
Keseluruhan rangkaian kamera keselamatan litar tertutup ini dikendalikan menerusi Intelligent Operation Center (IOC), yang turut mengumpul dan memproses segala data yang diperoleh dari CCTV. Aktiviti pengawasan juga diuruskan menerusi IOC ini.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan, berkata pihaknya akan menyenaraikan individu yang dikehendaki polis dalam usaha untuk menyelesaikan kes jenayah di negeri itu.
Katanya, imej suspek yang berjaya direkodkan akan membantu mengenalpasti kedudukan mereka, dan kamera akan mengawasi gerakan terbabit secara manual sebelum pihak polis membuat penangkapan.
“Kamera biasanya menghasilkan 80 hingga 90 peratus ketepatan, namun ia juga bergantung kepada kualiti kamera. Sebab itu kita perlu memeriksa individu terbabit sebelum menahan mereka,” katanya.
Sumber berita diperoleh dari New Straits Times