Setiap cakera keras akan menemui ajalnya pada suatu masa nanti dan berikut adalah bagaimana untuk melakukan persiapan sebelum maut menjemputnya.

Apabila sesebuah cakera keras itu hampir tamat riwayatnya, terdapat beberapa tanda-tanda yang menunjukkan hayatnya sudah hampir tamat. Antaranya, keluar bunyi-bunyian aneh, fail-fail menjadi korup, tergendala sewaktu but, dan kadar pemindahan data menjadi terlalu perlahan.

Simptom-simptom yang telah dinyatakan merupakan sesuatu yang lumrah berlaku pada mana-mana cakera keras yang usianya lebih dari empat atau lima tahun. Komponen-komponen yang bergerak di dalamnya seperti motor dan cakera akan mengalami kehausan apabila telah digunakan dalam satu-satu jangka masa yang lama. Manakala sektor-sektor magnetik pemacu juga lambat laun boleh menjadi rosak.

Pemacu keadaan pepejal (Solid-state drive, SSD) pula tidak mengandungi sebarang komponen-komponen bergerak, namun sel-sel storan di dalamnya mengalami kemerosotan sedikit demi sedikit apabila pengguna menulis (write) padanya. Bermakna, pemacu jenis SSD juga lambat laun akan rosak dan tidak boleh digunakan lagi pada satu masa nanti.

Melainkan pemacu-pemacu anda mengalami kepanasan melampau atau pernah terhentak, ianya lama kelamaan akan mengalami kerosotan jua pada akhirnya. Ini bermaksud, walaupun pemacu anda tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ‘buang tebiatnya’, anda boleh memantau tahap kesihatannya seperti;

Semak status S.M.A.R.T. pemacu anda

Kebanyakan pemacu-pemacu moden pada hari ini memiliki fungsi yang dinamakan sebagai S.M.A.R.T. (Self-Monitoring, Analysis, and Reporting Technology). Ia berperanan memantau sifat-sifat berlainan pemacu dalam usaha mengesan sebarang kegagalan cakera. Melaluinya, anda mampu bersedia dengan lebih awal terhadap sebarang kemungkinan penggantian cakera keras pada komputer anda.

Windows

Di dalam Windows, anda boleh membuat semakan status S.M.A.R.T. pemacu anda melalui Command Prompt. Klik kanan pada menu Start, pilih Run dan taipkan “cmd” ke dalam kotak carian. Melalui tetingkap yang muncul, taipkan;

wmic diskdrive get model,status

Satu notifikasi “Pred Fail” akan dinyatakan jika pemacu anda sudah nazak dan bagi pemacu yang masih lagi sihat wal-afiat, satu pernyataan “OK’ akan dipaparkan.

Mac

Pada komputer Mac, anda boleh membuat semakan status  S.M.A.R.T. dengan membuka Disk Utility melalui /Applications/Utilities/, klik pada pemacu yang ingin disemak, dan lihat pada “S.M.A.R.T. Status” pada penjuru bawah kiri, yang menyatakan sama ada “Verified” atau “Failing.”

Maklumat S.M.A.R.T. yang lebih terperinci

Bagaimanapun, maklumat asas S.M.A.R.T. yang diperoleh melalui fungsi yang disediakan oleh sistem operasi ini kadangkala boleh menimbulkan kekeliruan. Hal ini disebabkan oleh ianya hanya dapat diketahui apabila pemacu anda benar-benar menghampiri ambang sakaratul maut. Kadangkala, sesetengah pengguna mula mendapati simptom-simptom akhir hayat pemacu telah muncul sungguhpun semakan status S.M.A.R.T. menunjukkan “OK”.

Bagi tujuan mendapatkan semakan yang lebih terperinci, perisian seperti CrystalDiskInfo untuk Windows (percuma), atau DriveDx untuk macOS ($20 dengan percubaan percuma) mampu menawarkan maklumat S.M.A.R.T. yang lebih baik dari apa yang ditawarkan oleh sistem operasi anda.

Tetingkap Crystal Disk Info

Kedua-dua perisian ini bukan sekadar menyatakan pemacu anda rosak atau tidak, ianya turut menyatakan tahap-tahap kesiagaan tertentu seperti “Caution” atau “Warning” pada pemacu.

Selain dari dua perisian yang dinyatakan di atas, setiap pengeluar pemacu turut mengeluarkan perisian-perisian semakan status pemacu masing-masing. Misalnya, Seagate menyediakan perisian SeaTools khusus untuk membuat semakan pemacu keluarannya. Manakala Western Digital, menawarkan Data Lifeguard Diagnostic untuk tujuan yang sama dan Samsung pula memberikan Samsung Magician, khusus untuk SSD keluarannya.

Jika pemacu cakera keras anda rosak (atau nazak)

Pemacu-pemacu yang diberikan amaran di dalam semakan status S.M.A.R.T. tidak semestinya boleh rosak dan tidak boleh digunakan dalam masa yang terdekat. Mungkin boleh digunakan dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi, atau mungkin boleh rosak dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Imej dari iStockphotos

Jadinya, langkah terbaik yang anda boleh lakukan sebaik sahaja mengetahui pemacu-pemacu anda sudah hampir tamat riwayatnya adalah melakukan simpanan sandaran (backup). Anda mungkin boleh melakukannya dengan membuat salinan fail-fail penting ke pemacu luaran (external drive) anda. Atau anda boleh juga mengklon pemacu berkenaan dengan menggunakan perisian seperti EaseUS Todo Backup Free (Windows) atau Carbon Copy Cloner (Mac).

Keadaan boleh menjadi lebih sukar andainya pemacu anda secara tiba-tiba gagal berfungsi. Anda mungkin boleh membekukan pemacu anda di dalam bahagian sejuk beku peti ais, namun jika berjaya anda mungkin boleh dapat menggunakannya untuk tempoh yang terhad sahaja. Mungkin antara beberapa minit hingga beberapa jam sahaja yang cukup sekadar anda membuat pemindahan fail sahaja. Perkhidmatan pemulihan data profesional pula harganya adalah sangat tinggi dan mungkin tidak berbaloi bagi sesetengah pengguna.

Oleh yang demikian, untuk mencegah dari insiden-insiden kehilangan data-data penting dari komputer anda, langkah pencegahan seperti membuat salinan sandaran atau menyegerakan penggantian perkakasan komputer termasuk cakera keras mampu membantu anda dari mengalami kesulitan yang lebih teruk di masa akan datang.

Imej cover diperoleh dari iStockphotos

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.