Agak lama kita tidak mendengar perkembangan Samsung dalam pembangunan teknologi realiti terimbuh (augmented realiti, AR). Kali terakhir berita mengenainya muncul ketika Presidennya, DJ Koh menyebut tentang peranti prototaip yang menggabungkan VR dan AR pada tahun lepas.

Kini, permohonan pemfailan paten ke Pejabat Paten dan Tanda Dagang A.S. (USTPO) untuk rekaan cermin mata AR dari gergasi elektronik dari Korea Selatan berkenaan dilaporkan telah diluluskan.

Cermin mata AR tersebut dilihat direka mirip cermin mata biasa lengkap dengan cangkuk telinganya yang boleh dilipat. Rekaan ini amat berbeza dengan rekaan Microsoft HoloLens 2 yang kelihatan tidak sesuai untuk digayakan secara kasual.

Cangkuk telinga pada cermin mata AR ini juga berperanan sebagai suis apabila dilipat dan dibuka. Apabila lipatannya dibuka, sebuah projektor yang diintegrasikan pada cangkuk telinga ini akan memancarkan imej pada paparan kecil yang ditempatkan pada lensa cermin mata tersebut.

Di dalam paten tersebut turut dinyatakan lokasi di mana bahagian lensa cermin mata berkenaan dipancarkan dari projektornya.

Seperti biasa, sesebuah paten tidak menjanjikan ianya mampu direalisasikan sebagai hasil lengkap produknya kelak. Diharapkan rekaan cermin mata AR dari Samsung ini mampu menjadi sebuah produk kegunaan umum.

Sumber berita diperoleh dari Engadget

 

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.