Sewaktu acara tahunan Build baru-baru ini, Microsoft telah mempertontonkan aplikasi baris arahan (command line) terbarunya, Windows Terminal. Kini, Microsoft telah menerbitkan aplikasi berkenaan yang boleh dimuat turun melalui Microsoft Store.
Aplikasi Windows Terminal ini menyediakan ciri-ciri sokongan yang merangkumi sokongan tab berbilang, tema tambahan dan pengubahsuaian mengikut kesesuaian dan citarasa penggunanya.
Menurut The Verge, pengguna perlu menyunting fail JSON (JavaScript Open Notation) aplikasi berkenaan sebelum boleh melakukan pengubahsuaian padanya. Hal ini disebabkan oleh aplikasi ini masih diperingkat pratonton, justeru memerlukan maklumbalas terperinci dari pengguna-penggunanya termasuk ciri-ciri pengubahsuaian temanya.
Di samping itu, Terminal juga menyokong fungsi kemas gabung (render) teks yang berasaskan GPU dan juga emoji. Memandangkan teks-teks di dalam aplikasi ini dikemas gabung berasaskan DirectX, pembangun-pembangun akan dapat menggunakan aksara-aksara dan simbol lain yang biasa didapati pada mana-mana PC.
Terdahulu, aplikasi Windows Terminal boleh dimuat turun melalui halaman komuniti GitHub, dan Microsoft telah menyatakan bahawa versi Terminal binaannya ini dibangunkan seiring dengan versi GitHub.
Sumber berita diperoleh dari The Verge













