Konsol permainan Sony PlayStation 5 (PS5) dijadual bakal diumumkan sekitar penghujung tahun hadapan. Tarikh spesifiknya masih belum diketahui, namun terdapat desas-desus oleh peniris (leaker) atas talian yang mendakwa tahu tentang tarikh pelancarannya.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama @PSErebus telah menerbitkan kicauan-kicauan mengenainya melalui platform media sosial berkenaan. Untaian kicauan tersebut secara umumnya dilihat seperti bercerita tentang sejarah PlayStation. Namun, apa yang mencuri tumpuan adalah kicauannya yang menyatakan tarikh spesifik pelancaran PS5 berserta harga dan kapasiti storannya.

Berdasarkan kicauan @PSErebus, PS5 bakal dilancarkan pada 20 November 2020 pada harga US$499 (RM2,081) untuk pasaran Amerika Utara. Turut disebutkan adalah kapasiti storan yang akan ditawarkan adalah 2TB.

Bagaimanapun, kenyataan kapasiti storan 2TB tersebut agak meragukan memandangkan kapasiti tersebut tidak padan dengan harga yang dinyatakan, mengambil kira jika PS5 menggunakan storan SSD.

Setakat ini tidak dapat dipastikan kesahihan maklumat ini sehingga pihak Sony sendiri secara rasminya membuat pengumuman PS5. Portal teknologi, BGR turut melaporkan kemungkinan pengumuman tersebut akan dibuat pada Februari 2020.

Sumber berita diperoleh dari BGR

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.