Mac lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pengguna Huawei, Richard Yu memberitahu portal Die Welt bahawa pihaknya mempunyai OS simpanan yang sedia untuk digunakan jika wujud keadaan menghalang penggunaan Android. Langkah persediaan tersebut dibuat ketika perang perdagangan semakin memuncak mengeruhkan hubungan dua hala antara A.S. dan China.
Apa yang dikhuatirkan telah menjadi kenyataan apabila minggu lepas, Jabatan Perdagangan menguatkuasakan undang-undang larangan mengimport Huawei. Sekatan perdagangan terbabit mengakibatkan jutaan telefon pintar pengguna di seluruh dunia tidak mendapat kemaskini OS pada masa akan datang.
Larangan tersebut, walau bagaimanapun telah ditunda sehingga pertengahan Ogos. Namun, Richard Yu kini telah memulakan pelan pelaksanaan untuk OS alternatif berkenaan.
Sistem operasi alternatif berkenaan hadir dalam satu bentuk OS bersepadu akan dipasangkan pada bersatu telefon, komputer, tablet, set televisyen, kereta, peranti boleh pakai, dan produk-produk lain. Perisian tersbut juga boleh berfungsi dengan aplikasi Android dan aplikasi web. Aplikasi Android yang telah dikompilasi semula (recompiled) untuk OS Huawei dikatakan mampu berfungsi 60% lebih pantas. Pelaksanaan penggantian OS berkenaan dijangka bakal dilakukan seawal hujung September ini dan berterusan sehingga pertengahan tahun hadapan.
Terdahulu, Huawei kerap dilaporkan mengusahakan OS alternatif untuk menggantikan Android sejak tiga tahun kebelakangan ini. Namun, tidak diketahui sama ada perisian berkenaan berasaskan Android Open Source Project, AOSP. Menerusi AOSP, Huawei bebas menggunakannya untuk apa jua keadaan di bawah lesen sumber terbuka Google.
Huawei juga mungkin boleh memilih untuk menggunakan pangkalan lain dan melaksanakan runtime Android seperti yang dilakukan oleh BlackBerry OS 10 berdasarkan terbitan Unix. Apa pun, ini semua masih lagi menjadi teka-teki.
Sumber berita diperoleh dari Sina













