Infrastruktur internet di Malaysia bukanlah di bawah tanggungjawab Penyedia Perkhidmatan Internet (Internet Service Providers, ISP) semata-mata. Terdapat badan-badan lain yang turut membantu melancarkan dan menambah baik infrastruktur rangkaian di seluruh negara.
Salah satu badan yang bertanggungjawab berkenaan adalah Malaysia Internet Exchange (MyIX), sebuah badan bukan-berasaskan-keuntungan yang memberikan kelancaran penggunaan internet melalui kaedah yang dikenali sebagai peering.
Menurut laporan akhbar New Straits Times, MyIX baru-baru ini telah merekodkan jumlah trafik telah memuncak sehingga 532Gbps ketika awal pelaksanaan PKP baru-baru ini. Angka ini mengatasi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pada tahun 2019 iaitu pada 500Gbps. Semalam, angka tersebut sekali lagi memuncak apabila mencatatkan bacaan sehingga 588Gbps.
Pengerusi MyIX, Encik Chiew Kok Hin memaklumkan peningkatan permintaan sepanjang tempoh PKP ini adalah disebabkan oleh pertambahan penggunaan perkhidmatan kandungan audio-visual selain dari aktiviti e-pembelajaran dan persidangan video dalam talian.
Beliau turut mendedahkan sesetengah syarikat telekomunikasi yang melakukan peering dengan MyIX telah menambahkan bilangan port pada exchange masing-masing bagi menampung pertambahan mendadak jumlah trafik.
Sebagai usaha membantu meringankan beban yang dihadapi oleh sesetengah industri di dalam keadaan mencabar ini, MyIX telah memutuskan untuk mengecualikan caj bayaran untuk port-port yang baru ditambah untuk tempoh selama tiga bulan. Selain itu, badan ini juga turut mengenakan pengecualian bayaran untuk port-port sedia ada pada bulan ini dan turut menyediakan diskaun 20 hingga 23 peratus dari penggunaan berdasarkan kapasiti setiap port.
Terdahulu, MyIX telah mengusahakan pembukaan dua nod baru tambahan di Cyberjaya bagi meningkatkan keupayaannya dan seterusnya membolehkan lebih banyak rangkaian melakukan peering ke exchange.
Buat masa ini MyIX mengendalikan dua nod utama di AIMS Data Centre dan Bangunan CSF di Cyberjaya bersama-sama dua nod tambahan di Iskandar Puteri, Johor dan di Kuching, Sarawak.













