Utama Komputer Microsoft Surface Laptop 3 dilancarkan; Hadir dengan paparan 15-inci, Cip AMD Ryzen...

Microsoft Surface Laptop 3 dilancarkan; Hadir dengan paparan 15-inci, Cip AMD Ryzen Surface Edition

549
0

Microsoft telah memperkenalkan pelbagai produk terbaru di bawah siri Surface di dalam satu acara yang diadakan di New York, Amerika Syarikat. Salah satu peranti yang diperkenalkan adalah Microsoft Surface Laptop 3 dan seperti mana namanya diberi, ia merupakan generasi ketiga dalam siri ini.

Surface Laptop 3 ditawarkan dalam dua pilihan saiz paparan iaitu 13-inci dan 15-inci. Sebagaimana peranti-peranti Surface yang lain, paparan yang digunakan adalah jenis sesentuh menggunakan teknologi Microsoft PixelSense Displays.

Beberapa penambahbaikan turut disediakan pada papan kekunci dan pad penjejak Surface Laptop 3. Papan kekunci ini menawarkan gerakan kekunci sebanyak 1.3mm yang menurut Microsoft, menjanjikan pengalaman menaip yang lebih selesa dan senyap. Untuk pad penjejaknya pula, Surface Laptop 3 mempunyai lebih keluasan pada 20% lebih berbanding versi yang terdahulu.

Binaan Surface Laptop 3 lebih bersifat “modular” yang bertujuan membolehkannya lebih mudah untuk diselenggarakan. Ini mungkin jawapan balas Microsoft kepada iFixit yang memberi penarafan rendah terhadap tahap selenggara salah satu peranti Surface sebelum ini.

Walaubagaimanapun, untuk membaikinya pengguna masih lagi perlu menggunakan beberapa peralatan khas untuk membuka dan menyelenggarannya. Namun, secara keseluruhannya, Surface Laptop 3 adalah lebih mudah untuk diperbaiki.

Buat pertama kalinya dalam siri Surface, Surface Laptop 3 ditawarkan dengan pilihan CPU. Untuk model 13-inci, ia akan hadir dengan pemprosesan Intel Core Generasi Ke-10. Manakala untuk model 15-inci pula, ianya akan didatangkan dengan pemprosesan AMD Ryzen Surface Edition yang turut dilengkapkan dengan GPU Radeon RX Vega 11 terbina dalam.

Microsoft Surface Laptop 3 dijangka akan mula dipasarkan ke Amerika Syarikat pada 22 Oktober ini dengan harga US$999 (~RM4190) untuk model 13-inci dan US$1199 (~RM5029) untuk model 15-inci.

Sumber berita diperoleh dari Youtube Microsoft Surface

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.