Lanjutan dari penggunaan enjin Chromium untuk pelayar webnya, Microsoft baru-baru ini telah memberikan nafas baru untuk Microsoft Edge melalui pengenalan logo terbarunya.

Logo terbaru yang diinspirasikan dari bentuk badai ini dilihat cuba membentuk identiti baru, menjauhi imej buruk tinggalan Internet Explorer dahulu. Pun begitu, logo terbaru ini masih lagi memaparkan simbol seakan-akan huruf ‘E’, sepadan dengan pangkal huruf nama aplikasi pelayar web ini.

Pelayar web Edge berasaskan Chromium ini sudah pun diterbitkan secara beta sejak dari bulan Ogos lalu. Namun, tidak dapat dipastikan bila versi muktamad pelayar ini akan diterbitkan.

Laman web teknologi, The Verge ada melaporkan Persidangan IT dan Pembangun Microsoft, Ignite akan dilangsungkan pada 4 November ini. Dijangkakan, pelayar web ini mungkin akan dilancarkan sekitar tarikh tersebut.

Apa pun, diharapkan kehadiran Microsoft Edge versi terbaru ini dapat memberikan satu kelainan dalam penawaran pelayar web moden. Selain dapat memberikan cabaran terhadap hegemoni Chrome.

Sumber berita diperoleh dari The Verge

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.