Bermula sejak dari sekitar pertengahan tahun ini, kakitangan-kakitangan Microsoft Jepun telah mendapat manfaat cuti tiga hari seminggu. Microsoft Jepun kini sedang melaksanakan tempoh percubaan kerja empat hari seminggu untuk para kakitangannya tanpa sebarang pengurangan gaji.

Menurut Microsoft, hasil dari sepanjang tempoh percubaan berkenaan telah mendapati produktiviti secara keseluruhannya telah berjaya ditingkatkan kepada 40 peratus.

Selain dari itu, faktor peningkatan produktiviti ini turut disumbangkan oleh pengurangan waktu untuk bermesyuarat. Di dalam laporan berkenaan turut menunjukkan banyak masa dapat dijimat dengan kurangnya jumlah waktu mesyuarat.

Berdasarkan laporan dari National Public Radio, tempoh mesyuarat Microsoft Jepun telah dikurangkan dari 60 minit kepada 30 minit setiap sesi. Jumlah kehadiran ahli mesyuarat juga telah dikurangkan kepada maksimum 5 orang sahaja.

Kaedah pengurusan masa yang baru ini turut mendorong pihak Microsoft Jepun menggalakkan penggunaan saluran borak (chat) kolaboratif berbanding penggunaan emel dan mesyuarat yang dianggap sebagai “membuang masa”.

Sebelum ini beberapa syarikat yang melaksanakan tempoh waktu bekerja empat hari seminggu turut melaporkan peningkatan produktiviti berlaku selepas pelaksanaan tempoh kerja berkenaan.

Antaranya, sebuah syarikat di New Zealand, Perpetual Guardian turut melaporkan peningkatan produktiviti sebanyak 20% dan 45% terhadap keseimbangan kehidupan kerja para kakitangannya. Hasilnya, syarikat berkenaan telah pun memutuskan untuk mengekalkan tempoh waktu bekerja yang barunya ini.

Sumber berita diperoleh dari NPR

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.