Utama Mobile Android Microsoft: Android adalah OS peranti mudah alih terbaik

Microsoft: Android adalah OS peranti mudah alih terbaik

680
0

Sewaktu melancarkan telefon pintar Surface baru-baru ini, Microsoft melakukan sesuatu yang agak mengejutkan ramai pihak dengan memperkenalkan sistem operasi Android pada peranti berkenaan. Menandakan, Microsoft mungkin tidak lagi menghidupkan platform mudah alih Windows.

Surface Duo menggabungkan falsafah rekaan gabungan yang seringkali diterapkan pada rekaan-rekaan peranti Surface terdahulu. Ia menggunakan rekaan dwi-skrin dengan engsel bersudut 360-darjah, membezakan rekaan skrin fleksibel rumit yang diperkenalkan oleh Samsung, Huawei dan Motorola.

Soal rekaan yang digunakan ini bukanlah satu perkara yang besar pada peranti Surface kali ini. Apa yang menarik adalah ianya merupakan telefon pintar Microsoft pertama yang menggunakan Android. Persoalannya, mengapa Microsoft memilih Android?

Menurut Encik Panos Panay, Ketua Pegawai Produk untuk Bahagian Peranti Microsoft, sistem operasi yang terbaik untuk peranti ini adalah Android. Satu jawapan ringkas dan mudah.

Strategi terbaru dari Microsoft ini adalah kesinambungan dari jalinan usahasamanya dengan Samsung yang hadir dengan aplikasi pra-pemasangan Microsoft di dalam perantinya. Ia merupakan langkah pengkhususan Microsoft terhadap produk-produk aplikasi perkhidmatannya seperti Office di dalam segmen peranti mudah alih.

Peranti Surface Duo dengan sistem operasi Android ini bakal hadir dengan set lengkap aplikasi Office dan menjadi salah satu ciri tarikan utamanya. Peralihan ini menandakan Microsoft tidak akan bersaing secara bersemuka dengan Google dalam soal sistem operasi. Sebaliknya menjalinkan kerjasama dalam menyediakan aplikasi perkhidmatan seperti Office dan lain-lain aplikasi awanan.

Dalam perang sistem operasi mudah alih ini, Microsoft mengambil pendekatan ‘biar ditelan buaya, jangan dipagut ikan kecil’ untuk menjadikannya terus kekal relevan.

Sumber berita diperoleh dari Tech Radar

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.