Xiaomi sebelum ini pernah memberikan hint di Twitter tentang pelancaran Mi Note 10 di pasaran Malaysia dan kini telefon pintar berkenaan telah pun dilancarkan. Dua model iaitu Mi Note 10 dan Mi Note 10 Pro dilancarkan dengan kedua-duanya menampilkan ciri rekaan luaran yang hampir sama.

Kedua-duanya menampilkan paparan 6.47-inci Full HD+, cipset Qualcomm Snapdragon 730G dan bateri berkapasiti 5260mAh yang menyokong pengecasan pantas 30W. Selain itu, kedua-duanya juga menggunakan tetapan lima kamera untuk kamera utamanya iaitu – satu lensa 108MP dengan OIS, lensa telefoto 12MP, lensa telefoto 5MP dengan OIS, satu lensa bersudut luas 20MP, dan lensa makro 2MP. Secara tidak langsung, menjadikan kamera telefon pintar ini mengandungi sistem dwi-OIS.

Bagaimanapun, kedua-dua model telefon pintar ini dibezakan dari segi pilihan tetapan konfigurasi RAM dan storan dalamannya. Untuk Mi Note 10, ianya hadir dengan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB. Manakala untuk model Pro pula, ianya didatangkan dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Tidak ketinggalan, kepingan kaca pada lensa kamera utamanya juga berbeza dengan model Mi Note 10 mempunyai 7 keping dengan model Pro pula punyai 8 keping.

Beza harga kedua-dua model ini juga tidak jauh beza dengan Mi Note 10 ditawarkan pada harga RM2,099 dan Mi Note 10 Pro pula ditawarkan pada harga RM2,499. Kedua-dua model telefon pintar ini akan mula dijual pada 7 Disember 2019.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.