Utama Teknologi Kajian: Meter Pintar boleh sebabkan bacaan elektrik salah hingga 582 peratus

Kajian: Meter Pintar boleh sebabkan bacaan elektrik salah hingga 582 peratus

1219
0

Ujian makmal yang telah dijalankan oleh saintis Belanda menunjukkan kemungkinan sesetengah meter elektrik “pintar” hari ini boleh memberikan bacaan yang salah. Terdapat sesetengah kes di mana menghasilkan bacaan sehingga 582% lebih tinggi dari jumlah penggunaan tenaga yang sebenar.

Kajian ini melibatkan ujian-ujian terhadap sembilan jenama meter “pintar” yang berlainan. Meter jenis ini turut dirujuk sebagai “meter tenaga statik (static energy meters)”. Para penyelidik turut menggunakan sebuah meter elektromekanikal sebagai rujukan.

Menggunakan papan litar pengujian yang ringkas seperti di dalam gambarajah di atas, para penyelidik menyambungkan meter-meter pintar berkenaan ke peralatan-peralatan elektrik di rumah seperti lampu mentol, pemanas, mentol LED dan pemalap.

Ujian dijalankan selama enam bulan

Eksperimen ini dijalankan sepanjang enam bulan dengan ujian individu dilakukan pada tempoh sekurang-kurangnya satu minggu. Para penyelidik turut cuba mencontohi cara penggunaan peralatan elektrik di rumah bagi mengurangkan ralat yang dihasilkan oleh meter “pintar” berkenaan.

Oleh kerana ujian ini dilakukan oleh penyelidik-penyelidik dari University of Twente dan Amsterdam University of Applied Sciences, meter-meter yang digunakan adalah berdasarkan meter tenaga yang digunakan di seluruh Belanda yang dikeluarkan di antara tahun 2004 hingga 2014.

Hasil keputusan ujian menghasilkan jumlah yang amat berbeza dengan terdapat sesetengah meter menghasilkan jumlah ralat yang lebih tinggi dari yang ditetapkan, dari serendah -32% hingga +582%. Sungguhpun pihak penyelidik telah melakukan pengujian berulang kali terhadap meter-meter yang menghasilkan jumlah bacaan yang ganjil, keputusan yang didapati tidak banyak bezanya antara satu sama lain.

Hasil ujian menyerupai aduan pengguna

Hasil ujian dari penyelidikan ini hampir sama dengan apa yang sering dirungutkan oleh pengguna-pengguna di Belanda melalui forum atas talian. Pengguna menyalahkan penggunaan meter pintar ini telah menyebabkan bil penggunaan elektrik di rumah mereka telah melambung.

Secara keseluruhannya, lima dari sembilan jenama meter “pintar” memberikan hasil bacaan yang jauh lebih tinggi dari bacaan yang sepatutnya. Manakala dua lagi jenama meter “pintar” di dalam ujian berkenaan pula, memberikan bacaan yang lebih rendah dari yang sepatutnya.

Ketidaktepatan paling ketara yang dapat dilihat oleh penyelidik adalah apabila merekodkan bacaan meter untuk penggunaan pemalap pada mentol penjimat tenaga dengan mentol LED.

Setelah ujian makmal tersebut ditamatkan, penyelidik-penyelidik meleraikan meter-meter “pintar” berkenaan untuk memahami punca masalahnya. Selanjutnya, para penyelidik berkenaan mendapati meter-meter “pintar” yang menghasilkan bacaan yang tinggi Lingkaran Rogowski. Manakala meter-meter “pintar” yang memberikan hasil bacaan yang rendah pula menggunakan penderia berasaskan Kesan Hall.

Masalah berpunca dari rekaan meter “pintar”

Para penyelidik berpendapat masalah ini berpunca daripada rekaan sesetengah meter “pintar” itu sendiri dan juga pada peralatan-peralatan elektrik jimat tenaga. Sungguh ironik!

Peralatan-peralatan elektrik jimat tenaga ini, menurut para penyelidik menghasilkan jumlah hingar (noise) yang tinggi dalam bentuk gelombang (waveform) arus elektrik yang boleh mengganggu penderia meter “pintar” dalam merekodkan bacaan penggunaan elektrik.

“The reason for faulty readings appears to be the current sensor, and the associated circuitry. The experimental results […] show that static energy meters can be pushed into faulty reading (positive and negative) if sufficiently fast pulsed currents are drawn by the consumer.”

Sejumlah 750,000 meter bermasalah sedang digunakan di Belanda

Oleh kerana kajian ini hanya melibatkan meter-meter pintar yang biasa dipasang di rumah-rumah di Belanda, para penyelidik berpendapat sekitar 750,000 meter yang dipasang di seluruh Belanda berkemungkinan memberikan bacaan jumlah penggunaan elektrik yang salah.

Di seluruh dunia, jumlah meter “pintar” yang bermasalah mungkin mencecah jutaan unit memandangkan kebanyakan negara sudah mula menggunakan meter pintar untuk menggantikan meter elektromekanikal konvensional. Malaysia merupakan di antara negara-negara yang kini sedang beralih untuk menggunakan meter “pintar” menggantikan meter elektromekanikal pada rumah-rumah yang mempunyai bekalan elektrik.

Kesan menyeluruh akibat ralat yang dihasilkan oleh bacaan meter “pintar” ini masih belum dapat dinilai memandangkan para penyelidik tidak mendedahkan jenama, model dan pengeluar meter-meter “pintar” yang diuji.

Hasil kajian turut diterbitkan di dalam Majalah IEEE Electromagnetic Compatibility dengan tajuknya, “Static Energy Meter Errors Caused by Conducted Electromagnetic Interference”.

Imej diperoleh dari University of Twente

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.