Penamatan perkhidmatan lorong tambah nilai Touch ‘n Go di semua laluan keluar plaza tol PLUS telah pun dikuatkuasakan pada 5 November lalu.

Lanjutan dari maklumbalas negatif yang diterima dari pengguna-pengguna lebuh raya berkenaan isu penutupan lorong tambah nilai ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Encik Mohamed Azmin Ali telah mendesak pengendali lebuh raya tersebut mempertimbangkan semula langkah penutupan yang dilakukan.

Beliau turut berharap agar pengurusan PLUS mempertimbangkan semula langkah tersebut dengan mengambil kira pandangan pengguna-penggunanya demi keselesaan bersama.

PLUS telah mengambil keputusan untuk menutup kesemua lorong tambah nilainya selepas menjalankan tempoh pemerhatian yang telah dijalankan sejak dari 1 Ogos lalu di Wilayah Tengah. Berdasarkan keputusan ujian yang telah dilakukan, PLUS mendakwa penutupan lorong tersebut telah berjaya mengurangkan kadar kesesakan sehingga 48.2% di plaza-plaza tol yang terlibat.

Selain itu, pihak PLUS juga menjelaskan bahawa kini terdapat lebih dari 10,000 lokasi menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara. PLUS juga turut mengingatkan para pengguna lebuh raya supaya mempunyai nilai baki yang mencukupi jika membuat perjalanan menggunakan lebuh raya PLUS.

Sumber berita diperoleh dari Bernama, Imej dari The Star

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.