Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyatakan tempoh perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dapat dikurangkan kepada 1 jam sahaja dengan menggunakan kereta terbang.

Kenyataan ini dikeluarkan berdasarkan jawapan yang diberikan oleh beliau kepada soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam satu sesi di parlimen hari ini.

“Saya nak nyatakan, kalau kita pergi ke Pulau Pinang empat jam sekarang, mungkin pihak swasta dan usahawan berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang dalam masa satu jam menggunakan kereta terbang.

“Saya bukan kata ia akan berlaku, tetapi ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam 2020,” katanya sebagai menjawab soalan dari Ahli Parlimen Rembau tersebut.

Menurut menteri, pihak kementerian sudah mengadakan mesyuarat penyelarasan khusus bagi membincangkan hala tuju dan keperluan industri mobiliti udara dengan agensi pelaksana.

Ia termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketika sesi soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan dengan pemberita, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, “Perbincangan sudah dilakukan dengan pihak yang mengusahakannya, sama ada untuk membawa kereta itu melakukan penerbangan pertama tahun depan.

“Versi kedua menggunakan teknologi baharu dan kita telah berbincang sama ada ia boleh dilakukan, serta jika ada minat di negara ini untuk melakukan penerbangan pertama pada suku ketiga tahun depan,”

Sumber berita diperoleh dari Astro Awani, Foto dari Bernama

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.