dav

Mewujudkan bank data DNA dan memperketat prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada jabatan merupakan sebahagian daripada langkah yang diputuskan untuk penambahbaikan serta-merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian Jabatan Pendaftaran Negara.

Maklumat yang diperoleh dari bank data DNA ini akan dimasukkan ke dalam surat kelahiran di masa akan depan bagi mengekang ketirisan untuk jangka masa panjang, menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan berhubung isu sindiket penjualan kad pengenalan kepada warga asing baru-baru ini, pihak kementerian turut memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di JPN negeri dan menetapkan hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPN sebagai sebahagian dari langkah membanteras kegiatan pemalsuan MyKad.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, “Saya ingin menegaskan, KDN tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes penjualan MyKad dan memberi kuasa penuh kepada polis untuk menyiasat dan mendakwa pengkhianat negara.

“Pada masa sama, KDN juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu yang ditularkan dan memberi amaran bahawa tindakan perundangan akan diambil ke atas penyebar berita dan maklumat palsu,” katanya.

Proses naziran secara mengejut akan dilakukan dengan lebih kerap di semua bahagian JPN, termasuk terhadap vendor yang terlibat bagi memastikan semua tatacara yang ditetapkan dipatuhi. Penambah baikan terhadap aras keselamatan berperingkat juga perlu dilakukan agar ianya tidak boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai, sebaliknya perlu melalui verifikasi pegawai atasan.

Pertukaran pegawai JPN secara pusingan untuk mengelakkan pegawai berada di posisi sama lebih daripada dua tahun turut dilaksanakan bagi meminimumkan salah guna kuasa. Pihak JPN juga akan membuat semakan semula terhadap semua sijil kelahiran yang belum dituntut untuk dinyahaktifkan daripada pangkalan data sistem bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Sumber berita diperoleh dari The Star, Foto oleh Shafwan Zaidon, The Malay Mail

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.