Sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini banyak berita mengenai Huawei diperkatakan selepas kerajaan A.S. mengenakan sekatan perdagangan terhadap Huawei. Rentetan peristiwa ini menyebabkan Huawei diharamkan dari berurusan dengan Google, ARM dan lain-lain syarikat yang berpangkalan di A.S.

Hal ini telah menyebabkan Huawei terpaksa mempercepatkan proses pembangunan sistem operasi mudah alih buatannya senidri. Selain itu, syarikat peralatan telekomunikasi dari China berkenaan turut mencari jalan lain sebagai alternatif jika rundingan antara A.S. dan China gagal.

Membangunkan perisian sistem operasi sendiri adalah lebih sukar berbanding mengubahsuai sistem operasi mudah alih yang sedia ada. Media Russia, The Bell mendakwa pegawai eksekutif Huawei, Guo Ping membincangkan penggunaan Aurora OS dengan Konstantin Noskov, Menteri Pembangunan Digital, Komunikasi, dan Media Massa Persekutuan Russia. Bagaimanapun, Huawei dan kementerian berkenaan enggan mengulas lanjut.

Aurora OS merupakan sistem operasi mudah alih buatan Russia yang berasaskan dari salah satu sistem operasi olahan Linux, Sailfish OS dan dibangunkan oleh syarikat Finland, Jolla. Sailfish bukanlah sebuah sistem operasi mudah alih yang popular di kalangan pengguna peranti mudah alih. Walau bagaimanapun, fokusnya terhadap privasi dan keselamatan pengguna mampu menarik pengguna untuk mencubanya.

Menurut laporan dari The Bell lagi, Huawei sudah menguji Aurora pada beberapa perantinya. Beralih ke OS selain dari Android merupakan langkah yang berisiko, terutamanya dari segi tahap sokongan aplikasi untuk pengguna biasa. Mungkin atas sebab ini Huawei terpaksa mendapatkan lebih ramai pembangun-pembangun aplikasi untuk menerbitkan pada aplikasinya AppGallery, dan juga mempertimbangkan Aptoide sebagai alternatif Play Store.

Sumber berita diperoleh dari The Bell

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.