Honor bakal melancarkan siri 20 keluarannya tidak berapa lama lagi dan kini kita boleh mendapat lebih info mengenai Honor 20 Pro melalui peniris maklumat bersiri, Roland Quandt. Hampir sama dengan Honor 20, model Pro juga turut menyediakan tetapan quad-kamera, tetapi berkelebihi memiliki spesifikasi perkakasan yang lebih baik.

Sepertimana yang dilihat, susun atur quad-kamera Honor 20 Pro disusun secara 3-1 bersama-sama label “AI QUAD CAMERA 48M 1: 14 / OIS ASPH”. Secara tidak langsung, menunjukkan kamera utamanya mempunyai penderia 48MP (kemungkinan Sony IMX586) bersama-sama aperture f/1.4 yang lebih besar. Selain itu, tetapan kamera ini turut disokong oleh OIS.

Sebagai perbandingan, kamera Honor 20 menawarkan penderia 48MP dengan f/1.8. Foto tertiris yang terkini ini sepadan dengan slaid yang tertiris di internet pada awal bulan ini. Slaid berkenaan mendedahkan Honor 20 Pro turut dilengkapkan dengan kamera bersudut ultra-lebat16MP, kamera telefoto 8MP dengan zoom optik 3X dan kamera makro 2MP.

Menurut Roland, Honor 20 Pro dijangkakan mempunyai bateri yang lebih besar kerana telefonnya lebih tebal daripada model Honor 20. Oleh kerana ia adalah “Pro”, dijangkakan lebih banyak RAM dan pilihan storan yang ditawarkan berbanding Honor 20. Honor 20 bakal dilancarkan di Eropah dengan RAM 6GB dan storan 128GB.

Berdasarkan imej di atas, Honor 20 Pro juga akan dilengkapkan dengan penderia cap jari yang dipasang pada sebelah sisi yang turut berfungsi sebagai butang kuasa. Ini mungkin kali pertama Honor telah memasang penderia cap jari di bahagian sisi dan ciri yang sama turut disediakan pada Honor 20.

Spesifikasi selebihnya masih lagi belum diumumkan, namun dapat dipastikan bahawa Honor 20 Pro akan hadir dengan paparan “berlubang-tebuk” 6.26-inci. Selain itu, ia juga memperkenalkan ciri uniknya melalui, Reka Bentuk Hologram Dinamik yang baru menggunakan teknologi Triple 3D Mesh. Pelancaran siri Honor 20 akan berlangsung pada pukul 2 PM di London bersamaan 9 PM waktu Malaysia.

Sumber berita diperoleh dari Twitter Roland Quandt

Tinggalkan komentar