Grab baru-baru ini telah memperkenalkan PayLater, pilihan bayaran pasca-bayar yang meliputi seluruh perkhidmatan yang ditawarkannya. Fungsi ini membolehkan pengguna perkhidmatan-perkhidmatan Grab membayar secara sekali gus di dalam satu bil.

Fungsi yang menyokong perkhidmatan-perkhidmatan dari Grab seperti seru-pandu, GrabFood dan GrabExpress ini bagaimanapun hanya disediakan untuk pengguna-pengguna yang layak sahaja buat masa ini.

Menurut Grab, kriteria yang melayakkan pengguna untuk mendapatkan fungsi ini bergantung dengan beberapa faktor seperti tahap GrabRewards, jumlah kekerapan penggunaan perkhidmatan seru-pandu dan sebagainya. Pengguna yang layak bakal menerima had kredit yang telah ditetapkan di dalam fungsi ini.

Pengaktifan PayLater boleh dilakukan dengan membuat pilihan di bawah pilihan bayaran. Sebaik sahaja diaktifkan, ia akan menjadi pilihan utama bayaran untuk seluruh perkhidmatan-perkhidmatan Grab pengguna berkenaan.

Tempoh pengebilan ditetapkan dari hari pertama bulan berkenaan sehingga hari terakhirnya, tanpa mengira tarikh pengaktifan fungsi ini. Bil ini juga akan dijana bermula dari hari pertama bulan berikutnya dan pengguna dikehendaki menjelaskan bil berkenaan di dalam minggu pertama.

Setakat ini tiada sebarang caj-caj tambahan dikenakan di dalam menggunakan pilihan bayaran ini. Namun, bagi pengguna yang gagal menjelaskan bil-bil dalam tempoh yang ditetapkan, bayaran RM10 akan dikenakan disamping segala perkhidmatan akan disekat. Mata ganjaran GrabRewards untuk pilihan bayaran ini ditetapkan pada kadar yang sama dengan pilihan bayaran GrabPay.

Sumber berita diperoleh dari Grab

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.