Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Pindaan 2019) yang akan mengenakan kadar cukai 6% untuk perkhidmatan digital telah diluluskan pada April tahun ini dan bakal dilaksanakan bermula Januari tahun depan.

Google Malaysia akan mematuhi pelaksanaan cukai berkenaan dengan mengumumkan cukai 6% untuk perkhidmatan digital berkenaan akan dikenakan terhadap pengguna-penggunanya.

Akhbar The Star melaporkan cukai berkenaan akan merangkumi perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Google. Perkhidmatan seperti G Suite yang merangkumi perkhidmatan seperti storan awanan, aplikasi produktiviti dan alamat emel tersuai turut disenaraikan antara perkhidmatan yang dicukaikan.

Walaubagaimanapun, Google tidak menyatakan sama ada perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti Google Play Store, dan platform lain seperti YouTube Premium dan YouTube Music akan dicukaikan atau tidak. Sebarang perubahan pada kadar bayaran di masa depan akan dimaklumkan kepada pengguna melalui emel.

Cukai 6 peratus ini tertakluk pada perkhidmatan-perkhidmatan digital seperti perisian, aplikasi, permainan video, muzik dan filem digital, penstriman atas talian, media-media berasaskan langganan dan sebagainya. Perkhidmatan dalam talian dan digital lain seperti Netflix, Spotify, dan Steam turut tidak terkecuali.

Syarikat-syarikat dari luar negara yang menyediakan perkhidmatan digital disarankan agar mendaftar di Jabatan Kastam DiRaja Malaysia bermula dari 1 Oktober 2019. Pendaftaran adalah diwajibkan bagi penyedia perkhidmatan digital luar negara yang mencapai jumlah jualan kepada pengguna-pengguna di Malaysia melebihi RM500,000 setahun.

Sumber berita diperoleh dari The Star

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.