Pengguna Facebook tidak berapa lama lagi mampu memindahkan kandungan media di dalam akaun Facebook ke platform-platform lain secara terus tanpa perlu memuat turun terlebih dahulu.

Reuters melaporkan syarikat media sosial popular tersebut mengumumkan pilihan untuk memindahkan foto-foto dan video-video dari Facebook ke perkhidmatan lain dengan segera. Google Photos merupakan perkhidmatan pertama yang dipilih untuk penyegerakan antara platform ini.

Walaubagaimanapun, fungsi ini hanya ditawarkan di Ireland sahaja buat masa ini dan negara-negara lain akan menyusul secara berperingkat menjelang pertengahan pertama 2020.

Pilihan ini akan ditempatkan di lokasi yang sama dengan tempat anda memuat turun maklumat anda di dalam tetapan Facebook. Anda juga akan diajukan dengan kata laluan anda sebelum pemindahan dimulakan dan segala yang dipindahkan akan dienkripsikan.

Facebook turut menjelaskan fungsi ini masih lagi di dalam pengujian dan akan melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa berdasarkan maklumbalas pengguna. Setakat ini masih belum diketahui sama ada Facebook akan melancarkan fungsi ini secara serentak atau berperingkat kepada pengguna-pengguna lain di seluruh dunia.

Sumber berita diperoleh dari Reuters

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.