Lenovo lancarkan Yoga 920 Edisi Khas Star Wars di Malaysia – harga RM8,888

0

Lenovo baru-baru ini melancarkan laptop boleh tukar (convertible), Yoga 920 yang bertemakan Star Wars untuk pasaran Malaysia. Laptop Lenovo ini boleh didapati dalam dua reka bentuk, Galactic Empire (hitam) dan Rebel Alliance (putih).

Kedua-dua reka bentuk laptop ini menampilkan spesifikasi yang sama dan hanya dibezakan pada rupa luarannya sahaja yang mempamerkan logo Galactic Empire atau Rebel Alliance. Lenovo Yoga 920 edisi khas ini hadir dengan pemprosesan Intel Core i7 Generasi Kelapan, RAM 16GB, storan SSD 512GB, penderia cap jari berserta paparan sesentuh 13.9-inci 3840 x 2160 IPS.

Lenovo Yoga 920 Edisi Khas Star Wars boleh didapati di kedai-kedai jualan Lenovo dan juga secara atas talian melalui halaman Lenovo Lazada bermula Disember ini pada harga RM8,888.

Maklumat lanjut di Lenovo Malaysia

Lenovo bakal lancarkan Laptop Gaming, Legion Y920 di Malaysia minggu depan

0

Lenovo merancang untuk melancarkan laptop gaming terbaiknya setakat ini, Legion Y920 untuk pasaran Malaysia pada minggu hadapan. Menurut sumber yang dipetik dari portal Amanz.my, harga pasaran bagi laptop gaming ini ditetapkan pada RM12,999, bersama-sama aksesori dan peripheral tambahan yang lain.

Oleh kerana laptop ini merupakan laptop gaming flagship Lenovo, ia dilengkapi dengan kuasa pemprosesan Intel Core i7-7820HK, RAM 16GB, SSD 256GB, dan HDD 1TB. Kuasa pemprosesan grafik laptop ini dilengkapkan oleh Nvidia GeForce GTX 1070 dengan VRAM 8GB. Patutnya dengan harga macam ni, Lenovo kena letakkan GPU yang lebih power lagi.

Selain dari itu, pembelian Lenovo Legion Y920 ini turut didatangkan bersama Tetikus Berkejituan Tinggi Y Gaming, Set Kepala Y Gaming, Beg Galas Berperisai Y Gaming, dan pad tetikus Y Gaming. Kesemua cenderahati percuma ini bernilai RM1,000.

Sumber berita diperoleh dari KL Gadget Guy

Rasmi: Intel dedahkan Pemprosesan Intel Core U-Series Generasi Ke-8, Tawar Peningkatan Sehingga 80 Peratus

0

Intel secara rasminya telah melancarkan pemprosesan Core Generasi Kelapan terbarunya. Bagaimanapun, model terbaru yang dilancarkan ini hanyalah dari jenis Core U-Series yang terdiri dari masing-masing dua model terbaru untuk Core i5 dan Core i7.

Bagi anda yang tidak biasa dengan penamaan produk-produk Intel, pemprosesan Core U-Series secara umumnya direka untuk laptop arus perdana dan premium. Ia bukannya untuk tujuan gaming atau untuk menjalankan aplikasi berprestasi tinggi. Kedua-dua tugasan berkenaan pada kebiasaannya dikhususkan kepada pemprosesan Core H-Series.

Berikut adalah spesifikasi umum keempat-empat pemprosesan Intel Core U-Series Generasi Ke-8 berkenaan.

Dari segi prestasi, Intel mendakwa pemprosesan Intel Core Generasi Kelapan terbaru ini menawarkan peningkatan kuasa sehingga 40 peratus berbanding pendahulunya. Selain itu, pemprosesan ini turut mampu menjadikan penggunaan kuasa laptop lebih cekap dengan menawarkan tempoh penggunaan bateri sehingga 10 jam.

Dijangkakan pemprosesan terbaru ini mula hadir ke laptop-laptop di pasaran sekitar bulan September ini. Untuk versi desktop pula, ia dijangkakan hadir lewat tahun ini.

Sumber berita diperoleh dari Intel

Cara menonton Online Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur

0

Upacara pembukaan rasmi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur akan berlangsung pada 19 Ogos ini. Namun, dari bermula hari ini terdapat acara-acara yang sudah pun mula dipertandingkan seperti sukan bola jaring dan bola sepak lelaki.

Acara-acara sukan lebih seronok dan mengujakan untuk ditonton secara langsung di venue-venue pertandingan. Tetapi, oleh kerana kebanyakan acara-acara sukan ini dipertandingkan sewaktu hari bekerja, sesetengah dari kita sukar untuk menyaksikan atlet-atlet Malaysia beraksi dengan lebih dekat.

Pun begitu, demi semangat kesukanan dan cintakan negara, kita masih lagi berpeluang untuk menonton acara-acara yang dipertandingkan di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur secara online atau live streaming dengan percuma melalui;

Astro GO / NJOI Now

Astro menyediakan lapan saluran (termasuk Astro Arena) untuk para peminat sukan mengikuti Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur melalui aplikasi online, Astro GO dan NJOI Now. Pengguna-pengguna yang tidak melanggan Astro turut dibenarkan untuk mengikuti saluran-saluran yang menyiarkan acara-acara Sukan SEA ini.

Astro GO: Android / iOS / Web

NJOI Now: Android / iOS / Web

HyppTV Everywhere

Perkhidmatan IPTV dari TM, HyppTV menawarkan dua saluran khusus untuk Sukan SEA 2017 melalui aplikasi HyppTV Everywhere dalam bentuk HD.

Cuma, apa yang kurangnya adalah ia hanya terhad bagi pengguna-pengguna yang melanggan perkhidmatan Unifi dan sesetengah pelanggan Unifi atau pelanggan HyppTV Everywhere sahaja. Bagi anda yang melanggan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan, anda boleh mengikuti Sukan SEA secara langsung melalui aplikasi dan laman web HyppTV tanpa sebarang caj-caj tambahan.

HyppTV Everywhere: Android / iOS / Web (hanya untuk paparan Internet Explorer dan Safari sahaja. Browser lain macam Chrome, Firefox, dan Edge, semua tak lepas)

Tonton

Media Prima turut menawarkan dua saluran khusus untuk Sukan SEA 2017 melalui platform TV atas talian miliknya, Tonton. Pengguna boleh mengikuti perkembangan Sukan SEA KL 2017 sama ada melalui aplikasi mudah alih dan laman sesawangnya.

Harus diingatkan bahawa pengguna perlu mendaftar ke perkhidmatan ini untuk mendapatkan akses ke saluran-saluran berkenaan. Pendaftaran adalah percuma dan pengguna tidak perlu melanggan akses VIP untuk mengikuti Sukan SEA 2017 melalui Tonton.

Tonton: Android / iOS / Web

RTM (Teman Setia Andaaaaaa!)

Penyiar tertua di Malaysia ini tidaklah terlalu old skool memandangkan RTM turut menawarkan perkhidmatan tontonan secara atas talian melalui laman sesawang penstriman My Klik dan aplikasi mudah alih RTM Mobile.

Tiada saluran-saluran khusus untuk Sukan SEA ditawarkan pada perkhidmatan atas talian RTM ini. Ia hanya menawarkan saluran-saluran TV biasa RTM seperti RTM 1, RTM 2, dan TVi. Tetapi, saluran-saluran berkenaan kerap melakukan siaran langsung dan berita perkembangannya sepanjang sukan ini dilangsungkan.

Pengguna tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran dan pembayaran untuk mendapatkan akses ke perkhidmatan ini. Justeru, memudahkan para pengguna yang memang rasa malas nak daftar-daftar semua ni.

Myklik: Web

RTM Mobile: Android / iOS

Anda mempunyai sebarang cadangan atau cara lain untuk mendapatkan akses percuma untuk mengikuti perkembangan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ini? Sila nyatakan di ruangan komentar di bawah.

Acer Malaysia lancarkan laptop gaming Predator Helios 300 dan Nitro 5

2

Dalam memenuhi kehendak pasaran laptop gaming yang kian meningkat, Acer Malaysia hari ini telah mendedahkan dua produk terbaru yang merangkumi permainan berkuasa tinggi, Predator Helios 300 dan juga untuk permainan kasual, Nitro 5.

Sungguhpun ia merupakan sebahagian dari siri gaming premium, Predator Helios 300 menawarkan harga yang lebih rendah jika dibandingkan dengan adik beradiknya yang lain seperti Predator 21X, dan 17X. Pada harga RM5999, Helios 300 menawarkan paparan IPS HD Penuh 15.6-inci bersama-sama pemprosesan Intel Core i7-7700HQ dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB.

Selain menawarkan RAM DDR4 8GB, laptop ini turut menawarkan storan SSD 256GB berserta hard disk 1TB yang ditempatkan di ruangan yang direka khusus untuk memudahkan pengguna melakukan penambahbaikan di masa akan datang secara sendiri.

Helio 300 turut menampilkan ciri penyejukan melalui penggunaan kipas AeroBlade 3D yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kipas penyejukan yang selalu digunakan pada laptop-laptop biasa. Malah, laptop ini turut didatangkan bersama pra-pemasangan perisian PredatorSense yang membenarkan pengguna mengawal selia kipas laptop dan melakukan overclock pada GPU disamping memantau suhu CPU dan GPU.

Pada perkembangan yang sama, Acer Malaysia turut menawarkan laptop Nitro 5 yang dikhususkan kepada pengguna permainan kasual. Pun begitu, spesikasi yang ditawarkannya boleh dikatakan agak baik melalui paparan IPS HD Penuh 15.6-inci dan RAM DDR4 4GB. Malah, laptop ini turut menawarkan pemprosesan Intel Core i7-7700HQ dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050Ti 4GB.

Untuk harga, Nitro 5 menawarkan harga bergantung spesikasi yang ditawarkan. Bagi model yang menggunakan pemprosesan Intel Core i5-7300HQ berserta hard disk 1TB HDD dan kad grafik GeForce GTX 1050 2GB harga yang ditawarkan adalah RM 3,299. Manakala bagi model Intel Core i7 berserta SSD 128GB + hard disk 1TB dan kad grafik GTX 1050Ti harga yang ditawarkan adalah RM 4,699.

Sumber berita diperoleh dari The Star Online

HP EliteBook x360 dan Elite X2 kini di Malaysia; Harga dari RM5,299

0

HP baru-baru ini telah melancarkan laptop kegunaan perniagaan untuk pasaran Malaysia melalui HP EliteBook x360 dan Elite X2. Salah satunya, HP EliteBook x360 merupakan sebuah laptop convertible dan sebuah lagi Elite X2, adalah sebuah tablet Windows 1o. Tapi tak sama lah macam Microsoft Surface Pro tu.

Kita mulakan dengan HP EliteBook x360 terlebih dahulu. Laptop convertible ini menampilkan paparan sesentuh 13.3-inci 1080p, pemprosesan Intel Core i5-7200U yang digandingkan bersama-sama RAM 4GB DDR4, storan SSD  128GB M.2, dan bateri yang mampu bertahan sehingga 16 jam 30 minit untuk sekali cas.

Untuk Elite X2 pula, tablet Windows 10 ini menampilkan beberapa penambahbaikan berbanding versinya yang terdahulu. Tidak lagi menggunakan chip pemprosesan Intel Core m5-6Y54, tablet HP Elite X2 generasi kedua ini hadir dengan pemprosesan Intel Core i5-7200U dan turut menampilkan paparan sesentuh yang lebih besar 12.3-inci beresolusi 2736 x 1824.

Lain-lain untuk spesifikasi Elite X2 termasuklah RAM 4GB, storan SSD 128GB M.2, dan bateri yang mampu bertahan sehingga 8 ke 10 jam.

Menurut HP, kedua-dua HP EliteBook x360 dan Elite X2 dijual dengan harga bermula dari RM5,299 (tidak termasuk GST). Setakat ini, hanya EliteBook x360 sahaja yang disenaraikan di kedai atas talian HP Malaysia.

Asus, Lenovo dan HP sasar untuk hasilkan PC Windows 10 Pertama dengan Snapdragon 835

0

Asus, Lenovo dan HP telah menyatakan hasrat untuk menjadi di antara syarikat yang menghasilkan PC berselular pada penghujung tahun ini. Pengumuman ini telah dibuat melalui Microsoft dan Qualcomm pada pameran Computex 2017 baru-baru ini.

Ketiga-tiganya, Asus, Lenovo dan HP dijangka menjadi syarikat terawal yang menghasilkan peranti Windows 10 yang menampilkan chip pemprosesan Snapdragon 835. Peranti ultra nipis yang dijangka bakal dihasilkan ini turut didakwa bakal membawakan era baru perkomputeran mudah alih.

Qualcomm Snapdragon 835, apabila digabungkan dengan modem X16 LTE dan sistem operasi Windows 10, membolehkan pengeluar komputer menghasilkan peranti baru yang mempunyai tahap penggunaan bateri yang lebih lama, mudah dihidupkan serta saiz yang lebih kompak.

Bercakap berkenaan objektif utama kolaborasi ini, Timbalan Eksekutif Presiden Qualcomm Technologies, Cristiano Amon menyatakan bahawa;

The legacy computing model no longer works for today’s consumers, who don’t want heavy, tethered-to-a-power-cable laptops with a frustrating number of accessories. With compatibility for the Windows 10 ecosystem, the Snapdragon Mobile PC Platform will enable Windows 10 hardware makers to develop next-generation device form factors and deliver unparalleled anytime, anywhere creation experiences with up to gigabit-class LTE connectivity.

Modem X16 LTE diramalkan mampu membolehkan PC mudah alih mendapatkan kelajuan muat turun mencecah paras 1Gbps pada rangkaian selular generasi berikutnya, yang mana sedang diusahakan di sesetengah negara. Peranti “hypermobile” ini turut dilengkapkan dengan 2×2 802.11ac MU-MIMO untuk penyambungan yang lebih optimum.

Serta, melalui kombinasi pemprosesan ARM dan sistem operasi Windows 10, ia sepatutnya mampu melonjakkan kuasa perkomputeran berbanding laptop sedia ada yang menggunakan senibina x86.

Setakat ini masih tiada lagi khabar berita berkenaan harga, reka bentuk dan juga bila ianya akan hadir ke pasaran. Cuma apa yang dapat disahkan adalah ianya bakal hadir sekitar suku tahun keempat 2017.

Windows 10 pada ARM telah pun diumumkan sewaktu WinHEC pada Disember 2016 yang lalu. Berita ini mengejutkan sesetengah pihak kerana peralihan sistem operasi desktop penuh Windows 10 ke senibina ARM ini sedikit lari dari kebiasaan Windows 10 yang selama ini menggunakan senibina Intel x86.

Gabungan peranti selular mudah alih dan sistem operasi Windows 10 serta sokongan dari aplikasi-aplikasi Universal Windows Platform (UWP)Windows Hello, dan kepintaran buatan Cortana mampu membawa Microsoft ke arah mencabar hegemoni pasaran telefon pintar pada 2017. Paling penting, kemampuan unik peranti ini untuk menjalankan aplikasi-aplikasi desktop seperti Microsoft Office dan Adobe Photoshop.

Bagaimanapun, masih lagi banyak persoalan terhadap sejauh mana prestasi sistem operasi dan aplikasi serta tahap penggunaan bateri peranti akan datang ini selagi ianya masih belum menemui pengguna.

Sumber berita diperoleh dari The Verge

Acer Predator 21 X kini hadir ke Malaysia, harga ditawarkan RM39,999

0

Acer Malaysia telah mengumumkan secara rasmi kehadiran laptop gaming berspesifikasi ‘raksasa’, Predator 21 X ke pasaran Malaysia bermula 18 Mei. Pada masa yang sama, syarikat pengeluar komputer berkenaan telah pun mula membuka tempahan sungguhpun buat masa ini hanya sebuah sahaja laptop yang diperuntukkan untuk pasaran Malaysia dari keseluruhan 300 unit yang telah dihasilkan oleh Acer.

Predator 21 X model pasaran Malaysia menawarkan pemprosesan Intel Core i7-7820HK  yang boleh overclock bersama-sama RAM 64GB DDR-2400. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan dua SSD 512GB PCI-e NVMe dalam konfigurasi RAID 0 berserta hard disk 1TB 7200 rpm.

Tidak lengkap sebuah laptop gaming tanpa kehadiran kad grafik, Acer Predator 21 X dilengkapi dengan NVIDIA GeForce GTX 1080 16GB GDDR5 VRAM. Penggunaan kad grafik berspesifikasi tinggi ini turut disokong dengan paparan melengkung 21-inci IPS 120Hz dan teknologi NVIDIA G-Sync.

Lain-lain ciri menarik yang terdapat pada laptop gaming ini adalah pada bahagian kekunci nombornya yang boleh ditelangkupkan menjadi track pad selain turut didatangkan bersama penjejak mata Tobii yang terbina dalam untuk digunakan bersama-sama permainan yang menyokong penggunaannya dan juga log masuk secara biometrik melalui Windows Hello.

Harga jualan untuk Acer Predator 21 X di Malaysia adalah RM39,999. Hampir sama dengan harga untuk sebuah kereta di Malaysia. Laptop ini boleh dibuat tempahan melalui emel di alamat ama.marcom@acer.com. Bagi anda yang berkelapangan, anda boleh berkunjung ke IOI City Mall, Putrajaya untuk melihat laptop ini secara lebih dekat bermula 18 Mei 2017 sehingga 21 Mei 2017.

Sumber berita diperoleh dari The Star

Keylogger diketemukan pada Driver Audio Komputer-Komputer HP

0

Jika anda memiliki atau sedang menggunakan komputer HP, anda mungkin perlu memeriksa sama ada terdapat pemasangan fail C:\Windows\System32\MicTray64.exe atau C:\Windows\System32\MicTray.exe pada komputer berkenaan. Fail-fail berkenaan merupakan sejenis keylogger yang akan merekodkan sebarang kekunci yang dimasukkan melalui papan kekunci dan langkah segera yang perlu anda lakukan anda dengan menukarkan nama-nama fail berkenaan.

Pada kebiasaannya, keylogger yang diketemukan adalah spyware hasad dan pihak pengeluar peranti yang terkesan akan mengambil tindakan segera. Bagaimanapun, keylogger yang diketemukan pada komputer HP pada kali ini bukanlah perisian hasad dan sebaliknya ia adalah kecacatan yang terdapat pada cara bagaimana perisian berkenaan diwujudkan. Setakat ini masih belum tindakan yang diambil dari pihak HP.

Keylogger berkenaan diketemukan oleh syarikat keselamatan modzero AG di dalam driver audio yang dipasangkan pada sistem komputer HP. modzero telah menjalankan tanggungjawabnya dengan melaporkan perkara ini kepada pihak HP.

Buat masa ini, masalah ini melibatkan komputer-komputer HP dari jenis HP EliteBook, HP ProBook, HP ZBook, dan HP Elite. Pengguna boleh melakukan carian sendiri fail-fail keylogger berkenaan melalui kotak carian dengan menaipkan ‘MicTray.exe’ atau ‘MicTray64.exe’. Perlu diambil perhatian bahawa driver yang terlibat merupakan dari versi 1.0.0.31 dan ke atas.

Pengguna HP yang terlibat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan menamakan semula fail-fail terlibat bagi memastikan anda selamat dari pencerobohan yang dieksploitasi oleh penjenayah-penjenayah siber.

Sumber berita diperoleh dari Ars Technica

Dell Malaysia secara rasminya melancarkan Dell XPS 13 2-dalam-1

0

Dell Malaysia baru-baru ini telah melancarkan laptop 2-dalam-1 XPS 13 bersempena roadshow yang diadakan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Dell XPS 13 hadir dengan paparan sesentuh InfinityEdge Touch 13.3 inci beresolusi paling tinggi 3200 x 1800 bersama-sama sokongan Dell Active Pen.

Laptop ini turut menawarkan dua pilihan berdasarkan jenis pemprosesan, Intel Core i5-7Y54 atau Intel Core i7-7Y75. Bergantung dengan spesifikasi pilihan, laptop ini turut menawarkan penggunaan SSD 512GB PCIe-based dan RAM 16GB LPDDR3. Dell XPS 13 turut hadir dengan pembaca cap jari yang menyokong sistem keselamatan biometrik Windows Hello di dalam Windows 10. Juga ditawarkan, papan kekunci dengan pencahayaan latar dan bateri 46W/jam.

Pada masa yang sama, Dell turut mempertontonkan laptop-laptop lain, termasuklah  XPS 15 dan laptop gaming Inspiron 15 7000. Kedua-dua laptop ini merupakan model yang diperbaharui dengan menampilkan cip pemprosesan empat teras Intel Core Generasi Ketujuh dan unit pemprosesan grafik NVIDIA GeForce GTX 10 series.

Harga yang ditawarkan bagi Dell XPS 13 2-in-1 dan Dell XPS 15 adalah bermula dari RM6,699. Manakala bagi laptop Gaming Inspiron 15 7000 pula, harga yang ditawarkan adalah bermula dari RM3,899.

Spesifikasi Dell XPS 13 (Intel Core i5-7Y54)

  • Pemprosesan: 1.2-GHz Core i5-7Y54
  • Sistem Operasi: Windows 10
  • RAM: 8GB boleh dipertingkatkan ke 16GB
  • Storan: 256GB SSD mSATA
  • Saiz paparan: 13.3 inci
  • Bluetooth: Bluetooth 4.0
  • Saiz pad sesentuh: 4.1 x 2.4 inci
  • Labuhan: USB Type-C, Thunderbolt
  • Slot kad: SD Mikro

Spesifikasi Dell XPS 13 (Intel Core i7-7Y75)

  • Pemprosesan: 1.3-GHz Intel Core i7-7Y75
  • Sistem Operasi: Windows 10
  • RAM: 8GB boleh dipertingkatkan ke 16GB
  • Storan: 512GB SSD mSATA
  • Saiz paparan: 13.3 inci
  • Bluetooth: Bluetooth 4.0
  • Saiz pad sesentuh: 4.1 x 2.4 inci
  • Labuhan: USB Type-C, Thunderbolt
  • Slot kad: SD Mikro

Sumber berita dan imej diperoleh dari The Star

Acer Malaysia bawakan Laptop Gaming Aspire VX 15 dan Desktop Aspire GX781

1

Acer Malaysia telah mengumumkan kehadiran dua produk terbarunya, laptop gaming Aspire VX 15 dan desktop Aspire GX781 untuk pasaran Malaysia. Pelancaran dua produk terbaru dari pengeluar komputer ini dibuat di ibu negara, semalam.

Acer Aspire VX 15 menampilkan rekaan yang tampak agresif dengan kerangka logam berwarna kelabu gelap, ‘disulami’ dengan jalur-jalur merah. Ia dikuasakan dengan pemprosesan Intel Core i7-7700HQ dan RAM 4GB DDR4. Tidak lengkap sesebuah laptop gaming itu tanpa kehadiran unit pemprosesan grafik. Laptop Acer terbaru ini hadir dengan unit pemprosesan grafik Nvidia GeForce GTX 1050 Ti GPU dengan VRAM 4GB GDDR5 dan dipaparkan melalui paparan 15.6 inci Full HD IPS. Ia juga turut datang bersama kapasiti storan hard disk 1TB 5400rpm.

Dari segi penyambungan pula, laptop Acer Aspire VX 15 menawarkan satu labuhan USB 2.0, dua labuhan USB 3.0, satu USB Type C, slot pembaca kad, labuhan HDMI dan juga labuhan Ethernet untuk sambungan ke internet melalui kabel. Selain itu, laptop ini turut dilengkapi dengan dua buah kipas penyejukan yang menghalakan haba keluar melalui lohong pengudaraan di bahagian belakangnya.

Komputer desktop gaming Acer Aspire GX781

Tidak ketinggalan, komputer desktop gaming Acer Aspire GX781 menampilkan rekaan luaran yang hampir sama dengan laptop gaming Acer Aspire VX 15. Komputer desktop gaming dari Acer ini menggunakan kuasa pemprosesan Intel Core i7-7700 dengan RAM 8GB, storan 128GB M.2 SSD + 1TB HDD selain penggunaan Nvidia GeForce GTX 1050 GPU dengan VRAM 2GB GDDR5 bagi memantapkan kualiti output video grafiknya.

Juga, turut disediakan ruang untuk penambahan di masa akan datang yang lebih luas melalui satu slot PCIe x16, satu slot PCIe x1 dan satu slot lagi masing-masing untuk modul-modul M.2 SSD dan WLAN. Komputer desktop ini turut menyediakan ruang penyambungan pada bahagian depannya iaitu dua set jack audio, satu labuhan USB 3.1 (1x Type-C, 1x Type A) dan satu slot pembaca kad. Manakala pada belakangnya pula, disediakan dua labuhan HDMI, 1 labuhan Ethernet, 3 jack audio, 4 labuhan USB 2.0 dan satu USB 3.0.

Layari laman rasmi Acer Malaysia untuk maklumat lanjut.

Sumber berita dan imej diperoleh dari Technave

Acer Swift 5 kini di Malaysia, harga bermula dari RM3,499

0

Acer secara rasminya mengumumkan ketibaan ultrabook Acer Swift 5 untuk pasaran Malaysia. Laptop peringkat pertengahan ini hadir dalam dua bentuk pilihan storan pada harga yang berpatutan dengan spesifikasinya.

‘Pewaris’ kepada laptop Acer Aspire S13 yang popular, Acer Swift 5 masih lagi mengekalkan ciri-ciri rekaan luarannya yang anggun sungguhpun ia kini dilengkapi dengan spesifikasi yang lebih terkini. Ia dikuasakan oleh pemprosesan Intel Core i5-7200U Generasi Ketujuh, RAM 8GB berserta paparan IPS HD Penuh 14 inci.

Untuk penyambungan, ultrabook ini menawarkan dua labuhan USB 3.0 berserta satu labuhan USB Type C. Bagaimanapun, labuhan USB Type C ini tidak boleh digunakan untuk mengecas ultrabook berkenaan. Juga terdapat satu labuhan HDMI, satu bicu fon kepala dan satu pembaca cap jari yang boleh digunakan dengan Windows Hello.

Ultrabook ini hadir ke pasaran Malaysia dengan dua pilihan storan SSD. Bagi storan SSD 256GB, ia dijual pada harga RM3,499. Manakala untuk SSD 512GB pula dijual pada harga RM4,499. Kedua-duanya boleh didapati dengan dua variasi warna; Obsidian Black and Pearl White.

Spesifikasi Ultrabook Acer Swift 5 (256GB)

  • Pemprosesan: Intel Core i5-7200U Generasi Ketujuh
  • Memori: 8GB
  • Paparan: 14-inci HD Penuh IPS
  • Penyambungan: 2 x USB 3.0, 1 x USB Type C, HDMI, 1 x bicu fon kepala, 1 x pembaca cap jari
  • Storan: 256GB SSD
  • Harga: RM3,499

Spesifikasi Ultrabook Acer Swift 5 (512GB)

  • Pemprosesan: Intel Core i5-7200U Generasi Ketujuh
  • Memori: 8GB
  • Paparan: 14-inci HD Penuh IPS
  • Penyambungan: 2 x USB 3.0, 1 x USB Type C, HDMI, 1 x bicu fon kepala, 1 x pembaca cap jari
  • Storan: 512GB SSD
  • Harga: RM4,499

Microsoft tawarkan rupa bentuk antara muka Office baru yang lebih segar

Microsoft hari ini telah mengumumkan akan membawakan reka bentuk antara muka yang baru pada set perisian Office. Antaranya termasuklah Word, Excel, Power Point dan...