Utama Perkakasan AMD Persaingan AMD dan Intel untuk tahun 2017, AMD Ryzen vs Intel Kaby...

Persaingan AMD dan Intel untuk tahun 2017, AMD Ryzen vs Intel Kaby Lake

1265
0

Intel dan AMD masih lagi menjadi pilihan utama bagi pembelian sesebuah komputer desktop atau laptop hari ini. Di dalam artikel ini, kita akan melihat sejauh mana persaingan di antara kedua-dua gergasi cip pemprosesan ini hingga hari ini. Serta, bagaimana kedua-duanya gagal untuk meramal potensi pasaran peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet. Juga, apakah tindakan yang telah dan akan diambil oleh kedua-duanya untuk menghadapi cabaran baru ini?

Tahun 2017 ini menjanjikan perkembangan yang menarik buat kedua-dua pengeluar cip pemprosesan ini. Kehendak pengguna hari ini sudah tidak sama seperti zaman komputer desktop yang cepat dan bising seperti dulu. Bateri laptop sekarang ini pun sudah ada yang bertahan lebih dari separuh hari.

Sejak dari tahun 2013 sehingga kini, pasaran komputer desktop pra-pasang sudah mula merosot dengan jualan komputer desktop telah menjunam 9.8 peratus di seluruh dunia. Untuk pasaran yang baru muncul pula seperti di rantau Asia Pasifik dan India pula kemerosotannya jauh lebih teruk dengan 11.3 peratus apabila pengguna hari ini cenderung untuk memilih peranti yang lebih kecil, murah dan jimat tenaga.

Terdapat sedikit lonjakan pada jualan komputer desktop pada tahun 2014 apabila sokongan terhadap Windows XP telah ditamatkan. Itupun sebelum merosot kembali pada tahun 2015 kemudiannya. Para pengalisis berpendapat, kemerosotan jualan segmen komputer ini telah dapat diperlahankan apabila peranti dengan sistem operasi Windows seperti tablet dan 2-dalam-1 – laptop/tablet – semakin banyak dijual.

Apa yang berlaku ini jauh bezanya dengan apa yang telah berlaku hampir sedekad yang lalu. Ketika itu, Intel dan AMD merajai pasaran IT global dengan Intel menguasai pasaran laptop dan AMD pula telah membeli ATI untuk mengembangkan sayapnya ke bahagian pemprosesan grafik. Bagaimanapun, kedua-dua gergasi ini gagal membaca permintaan dan perubahan kehendak pasaran.

Landskap teknologi berubah dengan terlalu pantas buat Intel dan AMD untuk mengalih tumpuan kepada perkomputer mudah alih hinggakan peluang ini telah diambil alih pengeluar cip pemprosesan kecil lain pada waktu itu seperti ARM, VIA dan Qualcomm. Sekarang, ARM, VIA dan Qualcomm ini bukanlah lagi seperti ‘ikan bilis’ di dalam bidang penghasilan cip pemprosesan.

Angin Perubahan 2017

Intel dan AMD kini sedang di dalam proses untuk mengeluarkan cip pemprosesan terkini masing-masing. Intel sedang menuju ke arah cip pemprosesan Generasi Ketujuh yang menggunakan nama kod, Kaby Lake. Manakala AMD pula dengan cip pemprosesan Ryzen yang sememangnya amat berbeza jika dibandingkan cip pemprosesan keluarannya yang terdahulu.

Untuk cip pemprosesan Intel Kaby Lake, ia merangkumi hampir keseluruhan segmen. Dari desktop, laptop, tablet, 2-dalam-1 dan juga pelayan. Cuma yang masih belum nampak bayang lagi adalah cip pemprosesan khusus ultra peringkat atasan yang dikhabarkan dikenali sebagai Kaby Lake X.

AMD pula buat masa ini sedang menumpukan pada pasaran permainan PC yang kini sedang bangkit kembali. Kesemua cip pemprosesan Ryzen keluaran terbarunya semuanya boleh dilakukan ‘overclock’ dan dalam ujian penarafan awal telah menunjukkan terdapat cip-cip Ryzen yang setaraf dan ada juga yang telah mengatasi cip Generasi Keenam Intel Core i7. Tambahan pula, dijangkakan Generasi Kelapan Intel Kaby Lake tidak menawarkan sebarang peningkatan besar-besaran pada prestasinya, berkemungkinan besar AMD akan menjadi pilihan utama buat penggemar permainan PC.

Intel vs AMD: Kenapa perlu diambil kira?

Bagi anda yang ingin membeli laptop biasa atau komputer desktop baru, hanya AMD dan Intel sahaja pilihan yang ada untuk cip pemprosesan. Sungguhpun hasil jualan bagi komputer dekstop dan laptop sedang merudum, ia tidak bermakna kedua-dua gergasi ini sudah tidak relevan lagi.

Syarikat seperti Intel tidak hanya menjana keuntungannya hasil dari jualan cip pemprosesan PC dan laptop semata-mata. Cabang perniagaannya telah dipelbagaikan, dari cip pemprosesan grafik, penyesuai (adaptor) rangkaian berwayar dan tanpa wayar, perkakasan dan cip pemprosesan pelayan dan stesen kerja dan juga komponen-komponen untuk ‘set-top box’. Tidak ketinggalan, untuk peranti mudah alih Intel turut menghasilkan kebanyakan SoC pada peranti-peranti berkenaan walaupun tidak banyak peranti yang menggunakan cip pemprosesan Intel Atom.

Kilang Intel di Pulau Pinang – The Star

Di antara kedua-dua syarikat pengeluar cip pemprosesan komputer ini, AMD adalah lebih kecil baik dari segi kadar keuntungan dan kapasiti pengeluaran. Misalnya, Intel menghasilkan cip-cipnya sendiri melalui kilang-kilang fabrikasi miliknya yang terletak di Amerika Syarikat, Ireland, Israel dan China. Tidak ketinggalan, kilang pemasangan dan pengujian Intel di Malaysia yang terletak di Kulim dan juga di Pulau Pinang.

AMD pula telah pun menjual kilang fabrikasinya yang terakhir pada tahun 2009. Hari ini, sama seperti pengeluar cip pemprosesan lain seperti ARM, VIA, MediaTek dan lain-lain, AMD hanya menghasilkan rekabentuk cip-cip keluaran mereka sahaja. Untuk pengeluaran, ia akan menggunakan khidmat dari luar (outsource).

Menghasilkan cip pemprosesan mikro memerlukan kos yang amat besar. Dari segi keuntungan, AMD sememangnya jauh ketinggalan dengan hanya $1.3 billion pada suku tahun ketiga 2016. Berbanding Intel yang mencatatkan keuntungan sebanyak $15.8 billion pada tempoh yang sama.

Sejarah dan Pencapaian di antara AMD dan Intel

Kedua-dua syarikat pengeluar cip pemprosesan ini mempunyai sejarah inovasinya yang tersendiri. Apabila Intel menghasilkan cip pemprosesan mikro 8080 pada 1974, ia telah menyediakan asas untuk pemprosesan x86 yang seterusnya membawa kepada asas pembentukan PC desktop untuk 30 tahun lamanya.

Intel juga inovatif di dalam bab pemasaran apabila menjenamakan cip pemprosesan x86 kepada Pentium pada awal dekad 1990’an. Satu langkah yang bijak memandangkan amat sukar untuk meletakkan hak cipta terpelihara pada angka berbanding pada tanda nama.

AMD pula sentiasa konsisten berada nombor dua di belakang Intel. Mengikut laporan Mercury Research, AMD pernah mencatatkan penguasaan pasaran paling tinggi pada tahun 2006 sebanyak 22 peratus. Kini, ia sekadar menguasai pasaran sekitar 17 peratus. Sebahagiannya disumbangkan oleh dominasi AMD pada cip pemprosesan konsol permainan. Xbox One dan PlayStation 4, kedua-duanya menggunakan cip pemprosesan tersuai AMD ‘Jaguar’ 8 teras.

Xbox One dilengkapi dengan cip AMD – Wccftech

Pencapaian terbesar AMD adalah hasil dari pengambilalihan ATI pada tahun 2006, seterusnya menjadikan AMD mempunyai keupayaan yang sama dengan Intel untuk menghasilkan cip grafik terintegrasi. Hasil pengambilalihan ini turut menjadikan cip-cip pemprosesan AMD tidak lagi cepat panas seperti cip-cip yang terdahulu selain turut menjadikannya lebih cekap penggunaan tenaga. Dalam hal ini, AMD dapat membaca kehendak pengguna kebanyakan yang cenderung kepada komputer yang jimat tenaga berbanding yang berkuasa tinggi.

Cabaran untuk AMD dan Intel

Sejak dari tahun 2006, pasaran perkomputeran sedang menuju perubahan. Kedua-dua gergasi ini sedia maklum dan cuba mendepani perubahan mendadak yang cenderung ke arah pasaran peranti mudah alih di saat kemerosotan PC desktop. Pada peringkat awal, Intel mempunyai reputasi yang baik di dalam segmen peranti mudah alih sebelumnya melalui laptop dengan platform Centrino. Manakala AMD, sedang cuba menyaingi melalui cip pemprosesan Turion.

Intel bermula dengan baik dengan kemunculan netbook sekitar tahun 2007. Ingat lagi dengan Asus Eee PC 701 yang boleh diperoleh dengan harga kurang dari RM1000?

Kejayaan awal Intel di dalam segmen ini didorong oleh penggunaan cip pemprosesan Celeron (kemudiannya ditukar dengan Atom) yang sangat jimat tenaga. Tambahan pula, kos penghasilan cip berkuasa rendah ini juga murah menjadikan netbook dapat dijual pada harga bajet.

AMD pula dilihat pada waktu itu tidak mahu ambil tahu tentang netbook dan cuba menumpukan perhatian terhadap laptop yang boleh menawarkan kuasa pemprosesan yang lebih baik pada harga yang munasabah.

Bagaimanapun, cabaran untuk saling menguasai pasaran bukannya hadir dari kedua-dua syarikat pengeluar cip ini. Sebaliknya ia hadir dalam bentuk tablet. Steve Jobs secara terang-terangan tidak menggemari netbook dan ia membawa kepada penghasilan iPad generasi pertama pada 2010. Sebaik sahaja ia hadir ke pasaran, sebanyak 300,000 unit iPad telah terjual pada hari pertama sahaja.

Macrumours

Kegagalan AMD dan Intel dalam mendepani cabaran ini bukannya terletak pada kegagalannya membaca permintaan pengguna. Lama sebelum kehadiran iPad, Intel, Microsoft dan HP telah pun cuba menghasilkan tablet. Namun, gabungan yang tidak serasi di antara Windows, bateri yang cepat habis serta penggunaan perkakasan yang tebal dan berat menjadikan tablet yang dihasilkan mereka tidak laku.

Tablet-tablet seperti iPad dan jenis-jenis Android yang dihasilkan oleh pengeluar seperti Sony dan Samsung tidak tidak memerlukan cip pemprosesan seperti yang telah dihasilkan oleh AMD dan Intel sebelum ini. Sebaliknya, ia memerlukan komponen yang berbeza – SoC (system on a chip) – di mana keseluruhan fungsi komputer dibenamkan (embedded) pada sebuah cip sahaja.

Cip-cip SoC pada ketika itu banyak yang direka bentuk oleh syarikat pemprosesan dari British, ARM. Senibina ARM adalah sangat berbeza jika dibandingkan dengan apa yang dihasilkan oleh AMD dan Intel. Pemprosesan Reduced Instruction Set Computing (RISC) ARM secara fizikalnya lebih ringkas dari pemprosesan x86, menjadikannya lebih kos efektif dan jimat tenaga.

Apabila iPad semakin popular dari tahun ke tahun, semua sudah sedia maklum yang AMD dan Intel telah tersilap langkah. Menganjak ke tahun 2015, netbook pun sudah hampir pupus, ‘disembelih’ oleh tablet yang jauh lebih berkuasa, bateri yang tahan lebih lama dengan harga yang lebih murah berbanding laptop biasa.

AMD vs Intel: Faktor bentuk baru

Rakan karib sejak azali perkakasan x86, Microsoft turut serta dalam menambah kedukaan Intel dan AMD. Windows RT yang diterbitkan lewat tahun 2012 merupakan sistem operasi Windows pertama yang mampu digunakan pada peranti-peranti ARM. Secara teori, ia membuka ruang buat Microsoft untuk meraih sebahagian daripada pasaran tablet dan seterusnya mampu meminggirkan kedudukan Intel.

Bagaimanapun, platform Windows RT melingkup. Microsoft telah menarik semula peranti-peranti Windows RT yang tidak terjual di pasaran sebanyak $900 juta. Tidak serik-serik dengan kegagalan tersebut, Microsoft sekali lagi cuba kekal relevan dengan peranti ARM pada tahun 2017. Kali ini dengan Windows 10 pula.

Modul Intel Curie – Intel Jerman

Sudah pasti, Intel tidak hanya bergantung harap dengan Microsoft semata-mata. Intel sedang mengalihkan tumpuan kepada teknologi baru seperti peranti boleh-pakai (wearables). Salah satunya adalah modul Curie, sejenis modul bersaiz butang baju khusus untuk peranti boleh-pakai. Ia menggunakan SoC Quark SE yang boleh dikuasakan dengan bateri jam tangan.

Intel juga turut memberikan tumpuan terhadap pembangunan teknologi dron melalui papan induk Aero Compute dan juga kamera RealSense yang dihasilkannya.

AMD vs Intel: Permainan Komputer

Pasaran untuk permainan komputer sememangnya amat besar untuk peringkat global. Syarikat-syarikat pengeluar judul permainan di Malaysia mampu menjana pendapatan sekitar $1 juta hingga $5 juta setahun menurut laporan yang dikeluarkan oleh MDeC.

Disinilah terletaknya kelebihan buat AMD. Sungguhpun Intel menghasilkan cip pemprosesan grafik 3D, kepakarannya lebih tertumpu kepada penghasilan cip pemprosesan grafik terintegrasi yang amat sesuai digunakan pada laptop-laptop yang berkuasa rendah. Ia tidak menjanjikan kualiti grafik terperinci berdefinisi tinggi, namun masih boleh menjalankan aplikasi-aplikasi permainan pada tahap grafik sederhana.

Peminat-peminat permainan komputer pada kebiasaannya akan memilih kad grafik berasingan bagi memenuhi kehendak permainan dengan kualiti grafik yang menawan. Kad grafik terkini yang ditawarkan AMD, Radeon RX480 mampu memberikan kepuasan dari segi paparan grafik pada tetapan yang tinggi.

Selain dari penghasilan kad grafik berasingan untuk komputer desktop, AMD turut menyediakan cip-cip pemprosesannya untuk Xbox One, PlayStation 4 dan Nintendo Wii U. Besar sumbangan AMD ni terhadap dunia gaming.

AMD vs Intel: Mana yang patut dibeli?

Bagi anda yang ingin memasang komputer desktop sendiri, membuat pilihan di antara Intel dan AMD menjadi semakin rumit apabila pelbagai model cip pemprosesan ditawarkan oleh kedua-duanya.

AMD merupakan pilihan terbaik untuk anda yang mengutamakan bajet. Pun begitu, tidak semestinya pilihan pada cip pemprosesan AMD peringkat atasan tidak cukup bagus. Melalui kehadiran Ryzen, pengguna mempunyai pilihan yang lebih luas apabila penarafan yang dikeluarkan baru-baru ini dikatakan mampu menewaskan atau sekurang-kurangnya menyaingi cip pemprosesan Intel peringkat atasan, Core i7 Generasi Keenam.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menjangkakan sejauh mana AMD Ryzen mampu mengubah keadaan semasa dunia perkomputeran. Setakat ini Intel masih lagi mendominasi pasaran komputer desktop bagi peringkat pertengahan dan atasan dengan pilihan untuk papan induk untuk cip pemprosesannya lebih mudah didapati.

Jika anda ingin memasang komputer desktop khusus untuk permainan komputer, memadai anda menggunakan cip pemprosesan seperti Core i5 dan tumpukan bajet selebihnya untuk kad grafik berasingan. Tambahan pula, kebanyakan permainan video hari ini masih lagi tidak memanfaatkan keseluruhan teras pada cip pemprosesan. Jumlah maksimum teras yang digunakan hanyalah pada empat teras sahaja.

Untuk cip pemprosesan peringkat atasan seperti Core i7, ia bersesuaian bagi anda yang kerap menghasilkan tugasan berat seperti membuat suntingan video, render animasi 3D dan lain-lain tugasan yang memerlukan kuasa pemprosesan yang besar.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.