Western Digital baru-baru ini telah mengumumkan penambahan pemacu keadaan pepejal (SSD) berasaskan NVMe M.2 2280 ke dalam keluarga siri storan Blue keluarannya, WD Blue SN500. Storan terbaru keluaran Western Digital ini akan dijual ke pasaran umum.

Sebelum ini, SSD NVMe hanya ditawarkan oleh Western Digital melalui siri Black yang memfokuskan pada perkomputeran berprestasi tinggi. Manakala siri Blue pula hanya terhad menawarkan SSD jenis antaramuka SATA sahaja.

Melalui Blue SN500 yang akan dijual kelak, pengguna akan dapat memiliki SSD berasaskan NVMe pada harga yang lebih rendah berbanding siri Black.

Sungguhpun begitu, dari ukuran prestasi, tahap pencapaian storan SSD NVMe dari siri WD Blue masih jauh jika dibandingkan dengan dari siri Black. Model Blue SN500 500GB mempunyai kelajuan baca sehingga 1,700Mbps. Manakala Black SN750 500GB pula, berdasarkan spesifikasinya mampu mencapai kelajuan membaca sehingga 3,470Mbps.

Western Digital Blue SN500 250GB dijual pada harga US$54.99 (lebih kurang RM224) dan untuk model 500GB pula, harga yang ditawarkan adalah US$77.99 (~RM319). Pihak Western Digital Malaysia setakat ini tidak memaklumkan harga dan tarikh keberadaan produk ini di pasaran tempatan.

Sumber berita diperoleh dari Western Digital

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.