Samsung telah memperkenalkan cip DRAM telefon pintar yang tertinggi kapasitinya setakat ini. Pakej memori LPDDR4X 12GB ini mampu memberikan telefon-telefon pintar berspesifikasi premium memiliki lebih memori dari kebanyakan laptop di pasaran.

Cip memori ini sesuai untuk digunakan pada telefon pintar berbilang kamera dan juga telefon pintar boleh lipat yang menawarkan skrin beresolusi tinggi. Telefon-telefon pintar kini menawarkan lebih fungsi dan pengeluaran cip DRAM berkapasiti tinggi oleh Samsung ini dilihat sebagai langkah memenuhi permintaan dari pengeluar-pengeluar telefon pintar.

Dibina melalui proses pembuatan 10-nm Generasi Kedua Samsung, cip ini bakal digunakan pada Galaxy S10+ Edisi Seramik. Cip memori berkenaan turut dijangkakan bakal hadir pada Galaxy S10 Edisi 5G.

Lebih kecil, lebih pantas

Memandangkan RAM terbaru ini menggunakan ruang yang lebih kecil, ia mampu membantu pengeluar-pengeluar telefon pintar menggunakan ruang selebihnya untuk bateri yang lebih besar, cip 5G, AI dan pastinya, lebih kamera. Kelajuan pemindahan datanya adalah sama dengan LPDDR4 iaitu pada 4,266MBps, tetapi menggunakan tenaga 10 peratus lebih rendah.

Oleh kerana teknologi ini masih lagi baru, pastinya cip memori ini hanya hadir pada peranti-peranti mercu yang dijual pada harga premium.

Memori berkapasiti tinggi sudah tentu dapat meningkatkan kelancaran penggunaan telefon pintar terutamanya apabila bermain permainan mudah alih seperti PUBG Mobile. Cuma, tidak dapat dipastikan sejauh mana ianya dapat menampung tugasan-tugasan yang lebih berat seperti merakam video berkualtii tinggi melalui rakaman video 4K HDR.

Samsung menyatakan pihaknya akan meningkatkan pengeluaran RAM 8GB sedia ada serta cip terbaru 12GB 10-nm bagi memenuhi permintaan dari pengeluar.

Sumber berita diperoleh dari SamMobile

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.