Samsung Malaysia telah mengesahkan telefon pintar terbarunya, Galaxy A50 dan Galaxy A30 akan dilancarkan ke pasaran Malaysia tidak berapa lama lagi. Perkara ini dimaklumkan kepada media-media tempatan menerusi kiriman emel.

Acara pelancaran siri Galaxy A terbaru ini dijadualkan bakal berlangsung pada 18 Mac 2019 dan pada kebiasaannya, tarikh penjualannya dan harganya akan diumumkan pada hari pelancarannya.

Dilancarkan pertama kalinya di India, Galaxy A50 dan Galaxy A30 merupakan kelompok pertama siri Galaxy A versi tahun 2019. Galaxy A10 dilaporkan turut dilancarkan bersama dan ditawarkan untuk pasaran di India.

Kedua-dua model telefon pintar terbaru Samsung ini juga pernah dipertontonkan pada acara Kongress Mudah Alih Sedunia 2019 (Mobile World Congress 2019) yang telah dilangsungkan baru-baru ini. Berdasarkan maklumat awal, terdapat beberapa penjual tempatan yang mendakwa harga jualan Galaxy A50 dan Galaxy A30 di Malaysia, masing-masing dijual pada harga RM 1199 dan RM 799.

Apa pun, kita nantikan harga sebenar bagi kedua-dua telefon pintar siri Galaxy A yang dijangka akan diumumkan pada majlis pelancarannya pada minggu hadapan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.