Salah platform multimedia atas talian yang pernah popular satu ketika dahulu, Shockwave Player kini telah ditamatkan secara rasminya oleh Adobe. Penamatan ini salah satunya disebabkan oleh masalah-masalah berkaitan keselamatan yang membelenggu platform berkenaan.

Adobe telah memberikan pemakluman berkenaan perkara ini kepada pelanggan-pelanggan perusahaan sebulan yang lalu menerusi emel. Hebahan melalui laman web rasminya turut dibuat dan ia menyatakan penamatan perkhidmatan ini dijadualkan bermula 9 April 2019 kelak.

Penggunaan teknologi baharu yang kian meluas seperti HTML5 Canvas dan WebGL turut menjadi penyebab mengapa Adobe menamatkan sokongan ke atasnya dan seterusnya membawa kepada usaha penutupannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika di zaman kegemilangannya, Shockwave telah digunakan oleh kumpulan pereka untuk menghasilkan laman web yang lebih gempak, CD-ROM berinteraktif, dan permainan-permainan berasaskan web. Sepertimana adik kandungnya, Flash, platform ini dibangunkan oleh Macromedia sebelum ianya diambil alih oleh Adobe pada tahun 2005. Kedua-dua aplikasi berkenaan telah berjaya membentuk trend antaramuka beranimasi pada laman web dan juga permainan-permainan berasaskan web.

Masalah pada aplikasi-aplikasi berkenaan timbul terutamanya dalam soal keselamatan apabila kemaskini untuknya semakin kurang diterbitkan. Shockwave Player untuk macOS telah ditamatkan sokongannya pada tahun 2017 dan ianya tidak akan ditawarkan lagi untuk Windows dalam beberapa bulan sahaja lagi.

Pihak Adobe turut menyatakan sokongan untuk pengguna perusahaan masih lagi diteruskan sehingga kontrak tamat pada tahun 2022 nanti.

Pada bulan Januari baru-baru ini, penyelidik keselamatan di Avast telah menemukan Shockwave merupakan perisian yang paling kerap tidak dikemaskini pada komputer-komputer pengguna. Perisian yang lambat atau tidak dikemaskini berisiko tinggi untuk menerima ancaman-ancaman siber.

Sumber berita diperoleh dari Adobe

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.