Astro merupakan salah satu dari lapan buah syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) yang terlibat di dalam projek rintis Pelan Kesalinghubungan Negara (NCP) yang julung kalinya diuji di Jasin, Melaka.

Pakej yang ditawarkan oleh pihak Astro ini menggabungkan saluran televisyen satelit bersama-sama internet jalur lebar berkelajuan tinggi talian tetap dari City Broadband dalam satu harga. Boleh didapati dengan dua pilihan pakej kelajuan, pakej 50Mbps ditetapkan pada harga RM99 sebulan. Manakalah pakej berkelajuan 100Mbps pula adalah pada kadar RM129 sebulan.

Bagi kedua-dua pakej berkenaan, pelanggan bakal menerima akses ke Astro Family Pack yang merangkumi lebih 40 saluran untuk dinikmati. Menariknya, kandungan-kandungan yang ditawarkan melalui saluran Astro ini masih lagi melalui set dekoder Astro sedia ada.

Boleh didapati bermula dari 1 Februari ini, pakej-pakej ini hadir bersama-sama kontrak untuk 24 bulan. Bersempena pelancaran projek rintis ini, pelanggan-pelanggan Astro sedia ada daerah Jasin yang mendaftar awal sehingga 31 Januari untuk pakej baru ini bakal menerima saluran pratonton dan akses jalur lebar secara percuma tanpa penambahan di dalam bil untuk Januari ini. Bayaran pakej kombo terbaru ini akan mula dikira bermula 1 Februari ini. Pelanggan NJOI di dalam daerah Jasin yang membuat pendaftaran awal untuk pakej terbaru ini turut mendapat manfaat yang sama.

Selain itu, pihak Astro juga akan menghubungi pelanggan-pelanggan Astro yang layak di dalam Jasin bagi memberikan penerangan yang lebih terperinci.

Melalui saingan yang sengit untuk meraih pelanggan di daerah Jasin oleh kelapan-lapan ISP, pihak Astro pastinya mengharapkan tawaran pakej pukal ini dapat menyediakan keunikan pakej berbanding pesaing-pesaing lain di dalam projek rintis ini.

Sumber berita diperoleh dari The Star

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.