Beberapa hari yang lepas Apple telah menerbitkan kemaskini terbaru untuk sistem operasi iOS, 12.1.2. Tujuan kemaskini ini diterbitkan adalah bagi membaiki masalah sambungan bagi pengguna iPhone di Turki dan juga beberapa masalah pepijat yang berkait dengan pengaktifan eSIM untuk iPhone XS, XR dan XS Max. Namun, lain yang nak dibaiki lain pula masalah yang timbul.

Kini, timbul pula isu selepas kemaskini terbaru ini diterbitkan, sebahagian pengguna di seluruh dunia dilaporkan mengalami masalah untuk mendapatkan akses melalui penggunaan data selular sungguhpun sudah mengeluar dan memasukkan semula kad SIM atau melakukan hard reset pada peranti masing-masing.

Masalah ini seterusnya mengakibatkan pengguna-pengguna yang terlibat tidak boleh membuat dan menerima panggilan telefon. Sesetengah pengguna pula dilaporkan menerima status “no service” sebaik sahaja kemaskini terbaru berkenaan dipasangkan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan bagaimana situasi bagi pengguna-pengguna iPhone di Malaysia. Bagi anda yang masih lagi belum mengemaskini iPhone anda ke kemaskini terbaru ini, anda mungkin boleh menunggu sehingga kemaskini berikutnya bagi memastikan peranti anda bebas dari sebarang isu.

Sumber berita diperoleh dari iMore, Imej dari iOS Gadget Hacks

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.