Agak lama juga kita tidak mendengar laporan berkaitan insiden telefon pintar meletup sejak kebelakangan ini. Namun, baru-baru ini di Amerika Syarikat dilaporkan sebuah iPhone XS Max yang baru dibeli tiga minggu lepas oleh seorang pemuda secara tiba-tiba meletup dan terbakar di dalam poket seluarnya.

Mangsa yang dikenali sebagai J. Hillard mendakwa kejadian berkenaan berlaku sewaktu rehat makan tengahari dan beliau secara tiba-tiba terhidu bau hangit yang datangnya dari telefon pintar beliau yang pada ketika itu berada di dalam poketnya. Beliau hanya mula menyedari sesuatu yang tidak kena pada telefon pintarnya apabila mula berasa bahang panas dari peranti berkenaan.

Tidak lama kemudian, asap berwarna kuning kehijauan mula berkepul keluar dari perantinya. Lantas, beliau mengambil keputusan untuk keluar dari bilik makan dan terus menanggalkan seluarnya bersama-sama iPhone XS Max yang masih lagi di dalam poketnya. Bersama-sama rakan sekerjanya, beliau telah berjaya memadamkan kebakaran seluar beliau dengan menggunakan alat pemadam api.

Telefon pintar beliau yang terbakar berkenaan telah dibawa oleh beliau sendiri ke Apple Store berhampiran dan pihak Apple di premis tersebut mencadangkan penggantian dengan sebuah unit iPhone XS Max yang baru. Syaratnya, iPhone yang terbakar milik beliau perlu diserahkan kepada pihak Apple.

Bagaimanapun, J. Hillard tidak sekadar mahukan penggantian unit iPhone yang baru. Beliau inginkan penjelasan lanjut lebih terperinci dari pihak Apple tentang bagaimana iPhone XS Max beliau boleh terbakar secara tiba-tiba.

Sumber berita diperoleh dari iDropNews

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.