Huawei baru-baru ini telah mengumumkan chipset keluarannya, Kirin 980. Ia merupakan chipset peranti mudah alih pertama di dunia yang dibina berasaskan acuan litografi 7nm. Pemprosesan terbaru ini merupakan hasil kerjasama dengan pengeluar semikonduktor dari Taiwan, TSMC.

Melalui sejumlah 6.9 billion transistor yang dimuatkan ke dalamnya, Kirin 980 menempatkan sebanyak 1.6 kali ganda lebih banyak bilangan transistor berbanding pemprosesan terdahulu Kirin 970. Menurut Huawei, pembuat berasaskan acuan 7nm ini mampu menghasilkan peningkatan prestasi sehingga 20 peratus lebih baik dengan kecekapan penggunaan tenaga hingga 40 peratus.

Masih lagi mengekalkan bilangan teras yang sama – lapan teras, Kirin 980 merupakan pemprosesan pertama yang dibina menggunakan CPU ARM Cortex-A76 dan GPU Mali-G76. Juga, ia merupakan chipset pertama yang diintegrasikan dengan modem LTE Cat.21, menjadikannya mampu menyokong kelajuan memuat turun sehingga 1.4Gbps.

Apa yang lebih penting, Kirin 980 turut dilengkapkan dengan Unit Pemprosesan Neural Berganda (Dual Neural Processing Unit, Dual NPU). Secara statistik, NPU Berganda ini membolehkan Kirin 980 membuat pengecaman wajah sehingga 4,600 imej setiap minit. Selain itu, penggunaan NPU Berganda ini juga menyokong pelbagai jenis kerangka kerja AI seperti Caffee, Tensorflow, dan Tensorflow Lite.

Kirin 980 juga mempunyai lebih banyak bilangan Pemprosesan Isyarat Imej (Image Signal Processor, ISP) di dalamnya. Dibandingkan dengan generasinya yang terdahulu, ISP terbaru ini menawarkan peningkatan pengurusan data sehingga 46 peratus. Seterusnya, membolehkannya memberi sokongan lebih baik untuk konfigurasi berbilang kamera, reproduksi warna HDR, serta pengurang hingar yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti penghasilan imej.

Pemprosesan peranti mudah alih ini dijangka bakal hadir ke peranti-peranti mudah alih sekitar bulan Oktober tahun ini dan Huawei Mate 20 merupakan salah satu peranti terawal yang menggunakannya.

Sumber berita diperoleh dari Forbes

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.