Intel secara rasminya telah mengumumkan pemprosesan terbarunya untuk kegunaan peranti mudah alih yang merangkumi pemprosesan Core Generasi Kelapan U-Series dan Y-Series.

Dikenali sebelum ini melalui nama kodnya, iaitu Whiskey Lake dan Amber Lake, chip mikro yang dihasilkan dengan proses pembuatan 14nm ini turut memperkenalkan beberapa ciri penambahbaikan terbaru.

U-Series misalnya, terdapat model pemprosesan yang menawarkan sehingga empat teras dan lapan thread, dengan SKU tertingginya mampu mencapai kelajuan klok sehingga 4.6GHz apabila dipertingkatkan dipertingkatkan. Kesemuanya mampu dicapai dan dikekalkan pada TDP 15W sahaja.

Bukan itu sahaja, pemprosesan terbaru ini turut menyokong penggunaan memori DDR4 2400MHz, termasuk juga memori LPDDR3 dengan frekuensi maksimum 2133MHz. Juga, kesemua pemprosesan mudah alih U-Series ini turut diintegrasikan dengan modul Wi-Fi Gigabit Intel yang terkini.

Ini bermakna, peranti-peranti akan datang yang menggunakan pemprosesan Intel terbaru tesebut mampu membuat sambungan internet sehingga 1Gbps, bergantung dengan lokasi di mana sambungan internet itu dibuat.

Sama seperti pemprosesan Generasi Kelapan semasa, Intel U-Series untuk peranti mudah alih itu turut didatangkan dengan sokongan natif HDR Dolby Vision, bersama-sama Dolby Atmos bagi menyediakan pendalama pengalaman bunyi yang lebih imersif.

Untuk pemain permainan komputer, pemprosesan mudah alih Intel U-Series ini juga menyediakan optimasi khusus untuk menjalankan perisian permainan komputer. Antara judul permainan komputer yang dioptimasikan termasuklah World of Warcraft: Battle For Azeroth, Cuphead, Battlefield 1, dan banyak lagi.

Akhir sekali, menurut pihak Intel, pemprosesan mudah alih U-Series ini merupakan pemprosesan yang cekap penggunaan tenaganya. Peranti-peranti yang menggunakan chip pemprosesan berkenaan mampu bertahan sehingga 16 jam untuk sekali cas dan jika sistem optimasi kuasa diaktifkan, ianya mampu bertahan sehingga 19 jam.

Bagi Y-Series pula, pemprosesan mudah alih ini berbeza dengan U-Series dari segi pengkhususannya. Ia dikhususkan pada laptop atau notebook ultra nipis yang mengutamakan sifat ringan dan mudah alih. Justeru, sesuai ditempatkan pada notebook yang mempunyai reka bentuk tanpa kipas dan penyejukan pasif.

Seperti biasa, pemprosesan Intel Y-Series ini juga dilengkapi dengan modul Intel Wi-Fi Gigabit, sama seperti yang terdapat pada U-Series. Cuma dari segi TDP, Y-Series lebih jimat penggunaan tenaganya yang mana ianya pada 5W sahaja berbanding 15W pada U-Series.

Berikut adalah senarai pemprosesan mudah alih yang akan hadir ke pasaran mengikut siri masing-masing.

Pemprosesan mudah alih U-Series

Core i7-8565U – klok asas: 1.8GHz / Boost Clock: 4.6GHz,

Core i5-8265U – klok asas: 1.6GHz / Boost Clock: 3.9GHz

Core i3-8145U – klok asas: 2.1GHz / Boost Clock: 3.9GHz

Pemprosesan mudah alih Y-Series

Core i7-8500Y –klok asas: 1.5GHz / Boost Clock: 4.2GHz

Core i5-8200Y – klok asas: 1.3GHz / Boost Clock: 3.9GHz

Core m3-8100Y – klok asas: 1.1GHz / Boost Clock: 3.4GHz

Pemprosesan terbaru Intel Core Generasi Kelapan U-Series dan Y-Series ini dijangka akan hadir ke pasaran sekitar suku ketiga tahun ini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Mohon masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.