Selepas beberapa minggu yang dipenuhi dengan pelbagai desas-desus dan info yang tertiris, Huawei kini secara rasminya mengumumkan siri Nova yang terbaru, Nova 3 dan Nova 3i. Kedua-dua telefon pintar ini dilengkapi dengan empat kamera dan pada masa yang sama Nova 3i merupakan telefon pintar Huawei pertama yang menggunakan chipset Kirin 710 yang dihasilkan sendiri oleh Huawei.

Chipset yang dikatakan setara dengan Snapdragon 660 ini mampu memberikan lebih keupayaan pada Nova 3i pada harga yang lebih mampu milik. Nova 3 yang lebih tinggi spesifikasinya pula menampilkan chipset yang lebih berkuasa Kirin 970. Justeru, menjanjikan sesuatu yang amat menarik memandangkan kedua-dua jenis chipset berprestasi tinggi ini digunakan pada telefon pintar kelas pertengahan.

Selain dari penggunaan chipset berprestasi tinggi, kedua-dua model telefon pintar Huawei terbaru ini menggunakan paparan LCD 6.3-inch 2340 x 1080 19.5:9. Sungguhpun pada luarannya kedua-dua telefon pintar ini kelihatan hampir sama, terdapat beberapa perbezaan yang boleh dikenalpasti di antara kedua-duanya. Misalnya, Nova 3 menampilkan kamera hadapan yang lebih canggih dengan penggunaan sistem dwi-kamera 24MP + 2MP. Manakala bagi Nova 3i pula, ciri berkenaan digantikan dengan penggunaan penderia inframerah yang membolehkan ciri Face Unlock boleh digunakan walaupun di dalam tempat yang gelap.

Untuk kamera utama, Nova 3i menggunakan sistem dwi-kamera 16MP + 20MP dan untuk Nova 3 pula, telefon pintar ini menggunakan menampilkan gabungan sistem 16MP RGB dan 20MP monokrom. Selain itu, kedua-dua kamera ini boleh merakam video gerak perlahan pada 480fps.

Tidak ketinggalan, Nova 3 dan Nova 3i turut menyokong fungsi yang dinamakan sebagai “Qmoji”. Lebih kurang macam Animoji versi Huawei.

Lain-lain spesifikasi, Nova 3 memuatkan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB yang boleh dikembangkan dengan slot kad mikro SD. Juga, kapasiti bateri telefon pintar ini adalah 3,750 mAh.

Untuk Nova 3i pula, telefon pintar ini hadir dengan pilihan sama ada 4GB RAM (64GB) atau 6GB RAM (128GB). Bersama-sama bateri yang sedikit kecil kapasitinya berbanding Nova 3, 3,340mAh.

Fungsi GPU Turbo turut disokong oleh kedua-dua telefon pintar ini, yang mana ia menjanjikan peningkatan prestasi hingga 60 prestasi. Setakat ini, fungsi ini hanya menyokong permainan seperti PUBG dan Mobile Legends.

Huawei Nova 3 dan Nova 3i dijangka akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia sekitar hari ini dan harganya akan diumumkan dalam majlis pelancaran berkenaan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.