Baru sahaja dilancarkan secara rasminya di Barcelona bersempena MWC 2018, Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ dijadualkan akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 16 Mac ini. Sekaligus, menjadikan Malaysia sebahagian dari gelombang pertama yang menerima telefon pintar terbaru dari Samsung ini.

Turut dimaklumkan, Samsung Malaysia akan mula membuka pra-tempahan pada 1 hingga 4 Mac 2018. Menurut Presiden dan Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Yoon Soo Kim, harga jualan Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ adalah berdasarkan ketetapan berikut;

Galaxy S9 64GB: RM 3299

Galaxy S9+ 64GB: RM 3799

Galaxy S9+ 128GB: RM 3999

Galaxy S9+ 256GB: RM 4399

Sebagaimana yang dijelaskan, ini merupakan pertama kali Samsung menawarkan pilihan storan yang berbeza bagi telefon pintar keluarannya. Sungguhpun Galaxy S9 dan S9+ memiliki slot tambahan kad mikro SD, penggunaan storan berkelajuan tinggi UFS 2.1 tentunya memberikan impak besar terhadap prestasi keseluruhannya.

Model-model yang terdahulu seperti Galaxy S8 dan S8 Plus dijual pada harga masing-masing RM3099 dan RM3699 sewaktu ianya mula diperkenalkan di pasaran Malaysia. Manakala Galaxy Note 8 pula, harga sewaktu ianya diperkenalkan adalah RM3999.

Tiga dari empat pilihan warna disediakan untuk kedua-dua model yang dijual di pasaran Malaysia iaitu; Midnight Black, Coral Blue, dan Lilac Purple. Pembeli pra-tempahan akan turut berpeluang menerima cenderahati pembesar suara Harman Kardon Onyx.

Bersempena pelancaran kedua-dua telefon pintar terbaru ini, Samsung turut memperkenalkan program tukaran peranti bagi menggalakkan pengguna menaik taraf ke Galaxy S9 dan Galaxy S9+. Program yang turut menerima penukaran telefon pintar yang bukan berjenama Samsung ini boleh dibuat di Samsung Experience Stores.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Mohon masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.