Waze baru-baru ini telah memperkenalkan tiga fungsi baru pada aplikasi navigasinya untuk versi Android dan juga iOS. Pertama sekali adalah mod yang direka khusus untuk penunggang motorsikal dengan menyediakan cadangan laluan yang terbaik berdasarkan data-data yang dikumpul dari penunggang-penunggang motorsikal yang lain.

Penambahan mod khusus motorsikal ini meningkatkan kejituan maklumat perjalanan memandangkan tempoh perjalanan di antara motorsikal dan kereta juga berbeza dalam kebanyakan masa. Waze menyatakan pihaknya kini mampu membuat anggaran waktu perjalanan yang lebih tepat bagi penunggang motorsikal.

Di dalam mod motorsikal ini turut ditambah maklumat berkenaan laluan-laluan sempit untuk mencelah yang tidak dapat dilalui oleh kereta biasa. Kalau Kancil atau Myvi, itu belakang kira.

Kemaskini terbaru ini juga memperkenalkan arahan suara bebas-tangan, “OK Waze”. Fungsi ini hanya terhad di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada. Fungsi ini membenarkan pengguna mendapatkan maklumat dan menukar destinasi tanpa perlu menggunakan tangan. Apa yang pengguna perlu lakukan hanyalah menyebut kalimah “OK Waze”.

Selain dari itu, fungsi ini turut membenarkan pengguna melapor masalah kesesakan trafik, kemalangan, jalan berlubang dan juga road block.

Fungsi terakhir yang diperkenalkan oleh pihak Waze di dalam kemaskini ini adalah laluan perkongsian kenderaan (carpool) ke dalam sistem navigasi. Pertama seumpamanya dan tidak pernah lagi ada mana-mana aplikasi navigasi yang menawarkannya. Sokongan laluan untuk kenderaan berkongsi (HOV) ini julung kalinya diperkenalkan di 22 buah negeri di Amerika Syarikat berserta tiga wilayah di Kanada iaitu Vancouver, Toronto dan Montreal. Bandar-bandar lain dijangka akan menyusul di dalam masa yang terdekat ini.

Sumber berita diperoleh dari ArsTechnica

TINGGALKAN BALASAN

Mohon masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.