Honor secara rasminya telah melancarkan telefon pintar model terbarunya, Honor V10 di Beijing. Telefon pintar flagship ini berkongsi ciri yang hampir sama dengan sepupu dari sebelah abahnya Huawei dan cuma dibezakan pada harga yang lebih rendah.

Telefon pintar terbaru Honor ini menampilkan skrin penjuru-ke-penjuru dengan nisbah aspek 18:9, yang kini kian semakin banyak dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar lain. Skrin jenis ini turut dinamakan sebagai FullView oleh Honor/Huawei.

Panel paparan yang digunakan pada Honor V10 adalah LCD 5.99-inci dengan resolusi 1,080 x 2,160 (FullHD+). Bagaimanapun, telefon pintar ini tidak dapat mempersembahkan paparan tanpa bezel atas faktor penempatan penderia cap jarinya yang diletakkan pada bahagian hadapan dan bukannya di belakang.

Telefon pintar berkerangka logam ini menyediakan spesifikasi seperti chipset lapan teras HiSilicon Kirin 970, jenis yang sama digunakan pada sepupu-sepapat sebelah abahnya, Huawei Mate 10 dan Mate 10 Pro. RAM dan storan dalamannya hadir dengan pilihan 4GB / 64GB atau 6GB / 128GB. Sudah pasti, telefon pintar ini juga boleh menyokong penggunaan slot tambahan kad SD mikro sehingga 256GB.

Sungguhpun tiada kamera usaha sama Leica, sistem dwi-kamera yang ditampilkan padanya menyediakan gandingan penderia 16MP dengan penderia monokrom 20MP (kedua-duanya menggunakan lensa f/1.8) Tiada sebarang Penstabil Imej Optikal (OIS) disediakan untuk Honor V10. Mujurlah teknologi AI dari Huawei digunakan pada telefon pintar ini seperti Real-Time Scene dan Object Recognition.

Kamera swafoto pada bahagian hadapannya yang menggunakan penderia 13MP dengan lensa f/1.8 turut menggunakan teknologi AI yang boleh digunakan untuk tujuan keselamatan. Menurut Honor, teknologi AI pada telefon pintar ini agak cerdik kerana mampu membezakan wajah pemilik dengan orang lain dan ia tidak akan memaparkan sebarang maklumat panggilan dan notifikasi jika telefon ini dipegang oleh orang lain.

Honor V10 hadir dengan sistem operasi Android 8.0 dengan antaramuka EMUI 8.0. Telefon pintar yang menyokong pengecasan pantas dari sifar ke 50 peratus dalam tempoh setengah jam ini turut didatangkan dengan bateri berkapasiti 3,750mAh. Tidak ketinggalan, untuk mendengar audio dengan lebih sedap, telefon pintar ini menyediakan dua pilihan penyambungan – USB Type-C dan bicu audio 3.5mm.

Mula dijual di China bermula 5 Disember ini, harga Honor V10 ditetapkan dari  2,699 Yuan (bersamaan lebih kurang RM 1,677).

Sumber berita diperoleh dari Honor

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Mohon masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.