Melalui perkembangan kemajuan teknologi internet, industri teknologi telah mula beransur-ansur beralih dari storan setempat ke storan jarak jauh berasaskan pelayan melalui perkhidmatan yang kini dinamanakan sebagai awanan (cloud).

Kita boleh lihat pada cara kita mendengar muzik dan menonton video hari ini. Sebelum ini kita akan memainkannya melalui pemain media pada peranti dengan mengaksesnya melalui storan setempat kita; hard disk, DVD, CD dan sebagainya.

Hari ini, sudah menjadi satu kelaziman untuk kita melakukan penstriman untuk memainkan muzik atau video melalui perkhidmatan-perkhidmatan seperti Spotify, Netflix, iFlix dan sebagainya.

Konsep yang hampir sama ini juga digunakan pada perkhidmatan-perkhidmatan berasaskan produktiviti. Melalui perkhidmatan storan awanan (cloud storage services) pengguna dapat menggunakan beberapa kelebihan unik yang ditawarkan melalui perkhidmatan ini, antaranya;

  • Mengakses fail di mana-mana sahaja yang mempunyai sambungan internet
  • Mengurangkan ruang yang digunakan pada storan setempat
  • Membuat fail sandaran tambahan andainya berlaku kerosakan pada storan setempat
  • Berkolaborasi dengan rakan-rakan sepasukan untuk menyunting sesebuah dokumen secara jarak jauh

Buat masa ini, terdapat pelbagai perkhidmatan storan awanan (cloud storage) yang disediakan untuk pengguna, baik yang percuma mahupun yang berbayar. Kebanyakan perkhidmatan ini menawarkan kapasiti storan yang terhad bagi pengguna percuma dan jika ingin menggunakan ruang storan yang lebih, pengguna perlu membayar yuran langganannya bergantung dengan pakej yang disediakan.

Walaubagaimanapun, pakej percuma yang ditawarkan oleh kebanyakan penyedia perkhidmatan storan awanan (cloud storage) ini memadai bagi pengguna-pengguna yang sekadar menyimpan fail-fail dokumen untuk menyiapkan tugasan-tugasan harian.

Di Malaysia, kebanyakan pengguna sudah mula membiasakan diri menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan storan awanan ini. Antara perkhidmatan storan awanan (cloud storage) yang popular dikalangan pengguna Malaysia adalah seperti;

Microsoft OneDrive

OneDrive telah mengalami banyak perubahan dari segi rupa bentuk dan juga namanya sejak dari ‘kelahirannya’. Ia pernah dikenali sebagai SkyDrive, Live Mesh, FolderShare dan entah apa lagi nama yang saya sendiri pun tak ingat. Fungsi-fungsinya juga telah mengalami banyak perubahan hingga ke tahap ini yang lebih mesra pengguna.

Tambahan pula, perkhidmatan OneDrive ini sentiasa mengalami penambahbaikan dari masa ke semasa oleh Microsoft. Buat masa ini, Microsoft menawarkan OneDrive fungsi-fungsi storan awanan (cloud storage) dan penyegerakan fail (file syncing) seperti berikut;

  • Antaramuka web dan peranti mudah alih lebih menarik serta boleh digunakan secara offline
  • Penstriman muzik
  • Penyegerakan perkongsian folder desktop
  • Penerbitan bersama (co-authoring) secara masa nyata (real-time) untuk dokumen-dokumen Office
  • Pemberitahuan (notifikasi) berkenaan suntingan oleh rakan-rakan lain
  • Fungsi carian menyeluruh untuk fail-fail yang dikongsikan

Selain itu, Microsoft OneDrive diintegrasikan selengkapnya dengan Windows 10 dan pengguna dapat melihat dokumen-dokumen di dalam OneDrive sama seperti folder-folder fail lain melalui Windows Explorer. Oleh kerana ia datangnya dari Microsoft, perkhidmatan ini amat serasi apabila digunakan bersama-sama perisian Microsoft lain, terutamanya Microsoft Office 365.

Penggunaan perkhidmatan ini tidak hanya terhad pada Windows dan Windows Phone sahaja, malah ia boleh digunakan pada sistem lain seperti Mac, iOS dan juga Android. Bagi pengguna yang sekadar ingin mencuba terlebih dahulu, Microsoft menawarkan kapasiti storan awanan sebanyak 5GB secara percuma untuk mana-mana pengguna yang mendaftarkan akaun OneDrive.

Google Drive

Perkhidmatan storan awanan (cloud storage) dari Google ini menyediakan ruang percuma sehingga 15GB bagi mana-mana pengguna akaun Google yang berminat menggunakannya. Had saiz bagi sesebuah fail yang dimuat naik adalah pada 5TB.

Peneraju dalam menyediakan kefungsian kolaborasi perkhidmatan berasaskan produktiviti melalui G Suite (Google Docs, Google Sheets, dan sebagainya) ini turut menawarkan fungsi penyegerakan fail dekstop-ke-desktop.

Selain itu, ia menawarkan fungsi OCR terbina dalam yang dapat memudahkan teks-teks pada imej dapat disalin untuk disunting pada penyunting teks seperti Microsoft Word, Google Docs, Wordpad dan sebagainya. Anda juga dapat menggunakan fungsi ini untuk mengubah fail PDF ke Word sebagaimana yang dicadangkan di dalam artikel ini.

Mungkin tatacara susunan pada Google Drive ini sedikit mengelirukan pada sesetengah pengguna yang baru menjengah perkhidmatan ini. Namun, alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan anda mungkin dapat membiasakan diri menggunakannya.

Apple iCloud Drive

Akaun perkhidmatan storan awanan ini disertakan bersama kepada pengguna-pengguna yang memiliki peranti-peranti iOS atau OS X. Perisian kliennya dapat digunakan pada komputer Windows tanpa sebarang masalah. Sebagaimana produk-produk Apple yang lain, perkhidmatan storan awanan (cloud storage) ini menawarkan antaramuka Web yang menarik.

Walaubagaimanapun, perkhidmatan ini agak sukar untuk memusatkan kesemua fail-failnya jika pengguna menggunakan aplikasi-aplikasi Apple. Ia juga sedikit mengelirukan untuk menggunakannya pada sesetengah peranti. Dari segi harga pula, penawarannya dilihat kurang menarik kerana harga berbanding kosnya adalah agak tinggi berbanding perkhidmatan storan awanan yang lain.

Pengguna yang sudah biasa menggunakan fungsi penyegerakan fail mungkin sedikit keliru apabila menggunakan Apple iCloud Drive. Namun, ia masih lagi dikirakan sebagai perkhidmatan yang baik terutamanya bagi pengguna-pengguna aplikasi Apple tegar walaupun dari segi harga ia agak mahal dan sukar untuk digunakan.

Dropbox

Perkhidmatan storan awanan (cloud storage) ini sangat mudah untuk melakukan penyegerakan fail-fail di antara peranti-peranti serta boleh digunakan pada mana-mana sistem operasi. Hal ini banyak dibantu oleh integrasi mantap diantara aplikasinya dengan sistem operasi.

Pelayan yang digunakan oleh perkhidmatan ini dikirakan sebagai antara yang boleh diharap. Ia juga menyokong fungsi perkongsian fail, menunjukkan paparan sejarah tindakan-tindakan yang telah dilakukan pada sesebuah fail, membenarkan akses ke fail-fail yang dipadamkan dan fail versi yang terdahulu, selain ia mudah untuk dipasang dan digunakan.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan fungsi-fungsi lengkap Dropbox ini, harga yang ditawarkan adalah sangat mahal berbanding pakej-pakej langganan perkhidmatan storan awanan lain.

Kesimpulan

Ini hanyalah sebahagian dari perkhidmatan-perkhidamtan storan awanan yang popular dikalangan rakyat Malaysia. Jika anda mempunyai cadangan berkenaan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang saya terlepas pandang, kemukakan pandangan anda melalui ruangan komen di bawah.

Nama Perkhidmatan Microsoft One Drive Google Drive Apple iCloud Drive Dropbox
Kelebihan Kolaborasi; Microsoft Office 365 disertakan bersama untuk langganan 1TB Kolaborasi Pengguna Peranti Apple Ketersuaian dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain
Had saiz fail 10GB 5TB 15GB 10GB; Tanpa had untuk klien Desktop
Storan Percuma 5GB 15GB 5GB 2GB
Suntingan Atas Talian Ya Ya Ya Tidak
Pemversian Fail Ya Ya Ya Ya
Aplikasi Windows Ya Ya Ya Ya
Aplikasi iOS Ya Ya Ya Ya
Aplikasi Android Ya Ya Tidak Ya

Imej cover diperoleh dari Shutterstock

1 komen

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.