Memasang komputer dekstop sendiri ni memang ada kepuasannya tersendiri yang mana anda boleh menokok tambah spesifikasi mengikut kemahuan anda disamping masih lagi boleh menyesuaikan antara perkakasan-perkakasan yang dipasang.

Namun begitu, keseronokan memasang sendiri komputer desktop ini boleh terbantut apabila berlaku kesilapan-kesilapan yang tidak disengajakan. Manusia sememangnya tidak dapat lari dari kesilapan dan walaupun anda sudah biasa melakukan pemasangan komputer desktop sendiri pun tidak dapat lari dari melakukan kesilapan-kesilapan kecil sewaktu memasangnya.

Antara kesilapan-kesilapan kecil yang sering dilakukan sewaktu memasang komputer desktop sendiri adalah;

Beli unit bekalan kuasa yang paling murah, tidak sesuai dengan spesifikasi tinggi perkakasan lain

Sering terlepas pandang ketika pengguna terlalu ghairah menentukan spesifikasi apa yang paling berkuasa dan sesuai untuk set komputer desktop lengkap yang baru. Kadang kala, terdapat sesetengah pengguna sanggup berhabis sehingga ribuan ringgit untuk mendapatkan cip pemprosesan, papan induk dan kad grafik berspesifikasi tinggi. Namun tidak untuk unit bekalan kuasanya, yang mana ada sesetengahnya sekadar menggunakan unit bekalan kuasa paling murah dijual pada harga RM79 sahaja.

Kalau iye pun, pakai lah bekalan kuasa yang elok sedikit spesifikasinya. Sesuai dengan spesifikasi cip pemprosesan dan papan induk. Ini dek kerana nak jimat RM79 punya pasal, boleh jahanam papan induk jika berlaku lintar pintas pada unit bekalan kuasa murah berkenaan.

Spesifikasi terlalu tinggi

Kehendak kita tidak sepatutnya melebihi keperluan kita dan memasang sendiri komputer desktop pun kita perlu berhati-hati dengan godaan nafsu kita sendiri. Jika kita ingin menggunakan komputer sekadar untuk membaca emel sambil melakukan tugasan menaip, tidak perlulah kita bersusah payah mendapatkan kad grafik paling cun sampai 60 fps.

Tak salah kalau nak lebih sikit spesifikasi tu, asalkan anda tahu tujuan mengapa anda memilih perkakasan berkenaan untuk set komputer desktop anda.

Lupa nak beli papan kekunci dan tetikus

Macam mana nak pasang sistem operasi dan gunakan komputer kalau papan kekunci dan tetikusnya pun takda. Kesilapan ni, saya sendiri pun pernah lakukan. Hmmm…

Membengkokkan pin pada slot CPU/CPU

Bergantung pada jenis papan induk dan jenis pemprosesan, anda perlu berhati-hati dengan pin-pin pada CPU atau slot yang menempatkan CPU. Ini kerana, jika pin CPU anda tidak dapat ditempatkan dengan betul pada slotnya, kemungkinan untuk keseluruhan sistem komputer desktop anda tidak dapat dihidupkan amat besar.

Bagi pemprosesan AMD, anda biasanya perlu perhatikan pin-pinnya pada CPU. Manakala Intel pula, pada kebiasaannya anda perlu perhatikan pin-pinnya pada slot di atas papan induk.

Pin bekalan kuasa pada papan induk tidak dipasang dengan betul

Kesilapan sebegini kecil mampu mendatangkan stress. Anda perlu memastikan kabel-kabel di dalam papan induk, baik bekalan kuasa mahupun SATA perlu dipasang dengan betul dan pastikan ianya tidak longgar.

Kesimpulan

Walau secerdik mana pun dan seluas mana pun pengetahuan anda berkenaan perkakasan komputer, ada masanya kita tidak dapat mengelakkan kesilapan. Ini adalah sebahagian daripada kesilapan-kesilapan kecil yang kadangkala berlaku ketika kita hendak memasang sendiri.

Adakah anda pun pernah juga membuat kesilapan-kesilapan kecil sewaktu memasang sendiri komputer desktop?

Kongsikan pada ruangan komen di bawah ini.

 

2 KOMEN-KOMEN

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.