Rangkaian Peribadi Maya atau dalam bahasa omputihnya, VPN (Virtual Private Network) membolehkan anda mewujudkan perhubungan yang lebih selamat ke rangkaian lain melalui internet. VPN juga boleh digunakan untuk mengakses ke laman-laman web atau perkhidmatan atas talian yang terbatas mengikut negara-negara tertentu. Malah, ia juga sering digunakan untuk melindungi data peribadi dan aktiviti anda sewaktu melayari internet dari pihak-pihak ketiga yang mungkin anda tidak ketahui.

Secara fikrahnya, VPN akan ‘membawa’ kesemua trafik rangkaian yang ke rangkaian lain yang boleh memintas segala sekatan yang dikenakan di dalam rangkaian sedia ada anda. Tambahan pula, kebanyakan sistem operasi hari ini turut mempunyai integrasi sokongan VPN.

Apa itu VPN?

Apabila anda menyambungkan komputer (atau peranti lain seperti telefon pintar dan tablet) anda ke VPN, peranti anda bertindak seperti berada di dalam rangkaian yang sama dengan VPN. Kesemua trafik rangkaian anda akan dihantar melalui sambungan yang terselamat ke VPN.

Oleh kerana peranti anda dianggap berada di dalam rangkaian yang sama dengan VPN, ia dapat mengakses ke kandungan-kandungan yang sebelum ini terbatas mengikut negara-negara tertentu. Fungsi ini penting bagi pengguna-pengguna yang menggunakan aplikasi seperti Netflix yang mahu mendapatkan kandungan yang khusus untuk negara-negara tertentu sahaja.

Kegunaan VPN

VPN dapat digunakan dalam banyak perkara, misalnya;

Mengakses ke rangkaian tempat kerja walaupun di mana jua anda berada. Bagi anda yang sentiasa sibuk dengan urusan pejabat dan seringkali terpaksa travel ke sana ke mari, VPN adalah amat mustahak. Melalui VPN, anda dapat mengakses ke fail-fail dan sistem di dalam organisasi dengan selamat.

Akses ke rangkaian rumah ketika balik kampung; Anda juga boleh wujudkan VPN bagi membolehkan anda mengaksesnya di mana-mana tempat yang mempunyai akses internet.

Lindungi aktiviti internet anda dari rangkaian setempat dan ISP; Jika tidak kena gayanya, sebarang aktiviti anda menggunakan internet di rangkaian wi-fi awam boleh dilihat oleh pihak-pihak lain yang tahu caranya. Jangan ingat anda benar-benar selamat sewaktu gunakan wi-fi McD atau mamak dari ‘mata-mata’ ini yang senantiasa mencari ruang dan peluang untuk mengeksploitasi.

Mengakses ke laman yang disekat mengikut negara; Boleh try tengok content dari apps macam Pandora atau Hulu dengan menggunakan VPN.

Memintas tapisan internet negara; VPN kerap digunakan oleh penduduk-penduduk di negara yang ketat sekatan internetnya. Di China misalnya, ramai rakyatnya menggunakan VPN bagi memintas ‘Great Firewall of China’. Namun baru-baru ni, Great Firewall dah mula kacau sesetengah VPN.

Memuat turun fail; Jujur aje la, korang yang ramai nak guna VPN ni bukan pasal kerja sangat pun. Nak download torrent je sebenarnya kan. Ini kerana sesetengah ISP akan throttle kelajuan muat turun client torrent hingga menyebabkan kelajuan memuat turun anda menjadi terlalu perlahan. Jadi, penggunaan VPN untuk memuat turun torrent dapat mengatasi masalah ini. Itupun selagi ISP anda itu tidak mengganggu trafik VPN yang anda gunakan.

Cara guna VPN

Menggunakan VPN di Windows boleh dikatakan agak mudah juga sebenarnya. Bagi Windows 10, anda taipkan VPN dan pergi ke ‘Add a VPN connection’.vpn-dalam-windows-10

Seterusnya, anda dikehendaki memasukkan maklumat-maklumat berkaitan sambungan VPN yang anda ingin gunakan.vpn-dalam-windows-10a

Sambungan yang berjaya dibuat boleh disambung dan diputuskan dari komputer anda melalui ikon yang diletakkan pada system tray komputer. Lebih kurang sama menguruskan sambungan ke rangkaian wi-fi.

Terdapat juga VPN yang menyediakan perisian client yang menguruskan sambungan VPN kepada pengguna.

Perkhidmatan VPN yang boleh anda cuba

Terdapat banyak perkhidmatan VPN yang ditawarkan untuk pengguna-pengguna yang sekadar inginkan privasi sewaktu melayari internet di wi-fi awam atau mengakses ke kandungan yang terhad mengikut lokasi. Sebagai contoh, anda boleh lihat pada TunnelBear atau SurfEasy.

Kedua-dua perkhidmatan ini mudah digunakan. Cuma bezanya, TunnelBear menawarkan penggunaan percuma sehingga 500MB sebulan. Manakala SurfEasy pula memiliki lebih kelajuan.

Bagi pengguna yang ingin mewujudkan rangkaian VPN sendiri di rumah atau di pejabat bagi tujuan kerja dan peribadi, anda boleh cuba gunakan gabungan Tomato dan OpenVPN. Hat ni, nanti-nantilah kita cerita.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.