Sudah menjadi kelaziman di dalam bidang IT hari ini bahawa hampir semua pengguna komputer membenci Internet Explorer. Untuk ketahui sebab musababnya, kita perlu menoleh kembali ke era 1990an di mana ketika itu internet mula digunakan secara meluas.

Wujud satu ketika dimana Internet Explorer adalah ‘pembimbing’ umat manusia ke dunia maya yang penuh dengan segala macam maklumat. Pelayar internet ketika dekad tersebut yang dikenali khalayak hanya ada dua, tak Internet Explorer, Netscape. Itupun, Netscape masih lagi diperingkat bertatih dan penuh dengan masalah.IE Logo

Kemunculan Internet Explorer diperingkat awalnya

Pengguna hari ini kebanyakannya sering kali beranggapan Internet Explorer adalah pelayar web yang lembab lagi bermasalah. Namun, satu ketika dahulu ketika peringkat awal kemunculannya Internet Explorer adalah sebuah pelayar yang baik.

Malah, melalui Internet Explorer juga banyak mempelopori pelbagai inovasi teknologi pembinaan laman web yang menjadikannya lebih menarik seperti mana yang kita lihat hari ini.

1996: Internet Explorer 3

Pelayar versi ini diperkenalkan pada tahun 1997 dan ia merupakan pelayar pertama yang mengimplementasikan helaian gaya lata (Cascading Style Sheets, CSS). Selain itu, pelayar versi ini turut julung kalinya memperkenalkan aplet Java dan kawalan ActiveX.

1997: Internet Explorer 4

IE4 memperkenalkan enjin kemasan paling pantas (pada ketika itu) sebagai komponen bersama yang boleh digunakan dengan aplikasi lain – ciri penting yang perlu ada pada pelayar web yang sering dilupakan. Pada versi ini, turut diperkenalkan Dynamic HTML, yang menjadikan laman web berubah secara dinamik menggunakan JavaScript, serta pengintegrasian Active Desktop.

Lebih menarik, Internet Explorer adalah aplikasi rentas-platform (cross-platform), di mana ia boleh digunakan pada Mac OS, Solaris dan HP-UX. Menjelang pelancaran Internet Explorer 5, jumlah pengguna yang menggunakan Internet Explorer 4 sebagai pelayar web mencecah 60 peratus.

1999: Internet Explorer 5.x

Microsoft telah memperkenalkan Ajax melalui Internet Explorer 5. Melalui penggunaan ciri XMLHttpRequest pada JavaScript pada Internet Explorer 5 ini, ia telah menjadi batu asas kepada setiap teknologi aplikasi web yang kita gunakan hari ini seperti Gmail. Ketika itu, Microsoft tidak menggelarkan teknologi ini sebagai Ajax, bahkan nama Ajax ini timbul bukan dari Microsoft sendiri. Namun, dengan penghasilan Internet Explorer ini, ia telah banyak menyumbang kepada teknologi penghasilan web yang lebih baik.

Microsoft yang berinovasi

Dari IE3 sehinggalah IE6, Microsoft menggunakan segala keupayaannya untuk menjadi pelopor utama pelayar web. Malah, pada ketika itu Netscape 3 Gold penuh dengan masalah serta kerap pula tergendala, manakala Netscape 4 pula sangat lembab dan sampai ke satu tahap, nak render jadual pun payah. Itu belum lagi masuk laman web yang ada CSS.

Secara keseluruhannya, pada ketika itu para pembangun laman web kebanyakannya merungut tentang Netscape sama seperti pengguna hari ini merungut tentang Internet Explorer.

Apa yang telah menjadikan Internet Explorer sangat teruk?

Masalah pada pelayar web ini bermula apabila Microsoft mengintegrasikan IE ke dalam Windows sebagai komponen wajib, selain dari menjadikannya sukar untuk dinyahpasang (uninstall) dan menggunakan pelayar alternatif. Microsoft juga cuba mengukuhkan cengakaman monopolinya dengan sedaya upaya menyingkirkan Netscape dari pasaran. Sejak dari itu, ramai pihak mula melihat Microsoft seperti satu entiti korporat yang keji.

Microsoft berhenti berinovasi

Apabila Microsoft melancarkan Internet Explorer 6 pada tahun 2001, lengkap dengan pelbagai ciri baru untuk digunakan oleh para pembangun web, mereka telah menguasai pasaran sebanyak 95 peratus. Selepas itu, sepanjang tempoh 5 tahun, Microsoft berada di dalam kedudukan selesa dan berhenti berusaha memajukan pelayar web walaupun selepas kemunculan Mozilla Firefox.

Ciri spesifik Microsoft

Masalah lain timbul kemudiannya apabila Microsoft cuba melakukan sesuatu yang baru adalah kebanyakan inovasi Microsoft tidak mengikut piawaian web. Hal ini tidak mendatangkan masalah jika Internet Explorer adalah satu-satunya pelayar web yang wujud di muka bumi ini. Tapi bila Firefox dan Webkit boleh mengikut piawaian web tanpa sebarang masalah, ia memberikan kesan terhadap Microsoft.

Lohong keselamatan dan Tergendala

IE6 CrashedBila Microsoft sudah ketinggalan dalam perlumbaan pelayar web yang ketika itu Firefox dilihat sedang mendahului, segala macam ralat dan lohong keselamatan hampir dibiarkan tanpa sebarang pembaikan. Misalnya, dengan memasukkan kod seperti di bawah ini, ia sudah cukup menjadikan Internet Explorer 6 tergendala:

[box type=”note” align=”aligncenter” class=”” width=””]<script>for(x in document.write){document.write(x);}</script>[/box]

IE7 dan IE8, Nasi sudah menjadi Bubur

Lima tahun selepas IE6, akhirnya Microsoft kembali dengan Internet Explorer 7 yang dilengkapi dengan tab tambahan yang menjadikan  pelayar web lebih mesra pengguna. Namun, bagi pembangun web ia masih lagi mendatangkan masalah kerana perlu melakukan penyesuaian susun atur bagi dua jenis pelayar web yang berbeza.

Dua tahun setengah kemudian, Microsoft memperkenalkan Internet Explorer 8 yang mempertingkatkan sokongan CSS untuk kegunaan pembangun web. Ciri-ciri menarik turut ditambah melalui pengenalan Private Browsing, tab pengasingan (isolation tab) dan juga perlindungan dari kegiatan phishing. Pada ketika ini, kebanyakan pengguna sudah pun beralih menggunakan Firefox dan ada sesetengahnya mula menggunakan Google Chrome.

Punca kenapa orang IT benci Internet Explorer

Internet Explorer dibenci bukanlah kerana ianya telah ketinggalan zaman. Ia dibenci kerana masalah-masalah ralat yang sering berlaku apabila pengguna biasa melayari laman web menggunakan IE. Masalah ini jarang pula kedengaran apabila pengguna melayari web menggunakan pelayar alternatif lain seperti Firefox atau Chrome.

Sakit hati bila merekabentuk laman web mengikut piawaian IE

Firefox Gigit IEPara pembangun laman web memang menyampah bila nak merekabentuk laman web yang perlu bersesuaian dengan Internet Explorer. Ini kerana, walaupun rekaan dan antaramuka laman web tersebut kelihatan sempurna pada pelayar alternatif lain seperti Firefox, Chrome, Safari, Opera dan lain-lain, ia akan ‘hancur’ apabila dilihat menggunakan paparan Internet Explorer.

Mujurlah pada tahun 2014 lalu, amat jarang untuk kita melihat pengguna melayari laman web menggunakan pelayar IE6 dan IE7. Malah, pengguna yang menggunakan Internet Explorer 8 pun tak sampai 10% jumlah penggunanya.

Orang IT tak rela dipaksa

Oleh kerana sistem operasi Windows merupakan sistem operasi komputer yang paling meluas penggunaannya, kebanyakan organisasi dan syarikat menjadikan Internet Explorer sebagai pelayar tetapan utama. Ini menjadikan para pembangun web dan sistem telah dipaksa untuk menjadikan segala apa yang dibina perlu disesuaikan dengan Internet Explorer.

Laman Sesuai IEAtas sebab itu, sebelum ini kita kerap mendapati laman-laman web rasmi organisasi terutamanya agensi kerajaan akan mempunyai notis yang menyatakan laman tersebut sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer 6 dan ke atas sahaja.

Masa depan Internet Explorer

Mujurlah Microsoft telah banyak belajar dari kesilapan yang lalu. Sejak dari kemunuculan Internet Explorer 10 dan Internet Explorer 11, kedua-dua versi ini adalah sangat pantas dan seiring dengan pelayar-pelayar web moden yang lain. Malah, Microsoft juga akan melakukan perubahan besar-besaran pada pelayar webnya melalui penjenamaan semula IE, Microsoft Edge bersempena kemunculan sistem operasi terbarunya Windows 10.

Dari segi keselamatan pula, bermula dari IE10, banyak penambahbaikan telah diberikan kepada pelayar web Microsoft hingga kini ia menjadi antara pelayar web yang paling selamat. Lagipun, malware tidak menumpukan serangannya terhadap IE kerana ia sudah menjadi terlalu rumit untuk menjadikan pengguna IE sebagai sasaran.

Keadaan sudah menjadi terbalik sekarang ini apabila serangan adware dan malware lebih tertumpu kepada Chrome dan Firefox melalui pemalam-pemalamnya (extensions). Manakala Microsoft pula kini sedang berusaha memenangi kembali hati para penggunanya melalui penambahbaikan pelayar webnya.

Hidup ini umpama roda..

6 KOMEN-KOMEN

  1. Saya belajar main internet tahun 1998 (era reformasi) guna Internet Xplorer. Masa tu tiada pilihan, kelihatan Xplorer adalah yg terbaik. Kemudian bila datang Firefox, saya beralih kepada Firefox yg lebih mesra pengguna. Bila datang Chrome, beralih kepada Chrome pula. Tapi kerana Chrome kekadang hadapi masalah serangan malware kini saya kembali kepada Firefox semula…

  2. Si ‘penjelajah’ tu dulu memang menjadi browser pilihan. Tapi, lepas si musang api datang, si penjelajah terpaksa redho… masa mengubah segala, penjelajah tak nak keep up dgn perkembangan…

    • Dulu-dulu zaman Myspace, aku test design profile page Myspace ni guna ‘Penjelajah Internet 6’. Masa tu tengok page profile sendiri ada blink-blink dengan cursor kaler-kaler bagai dah rasa bangga tak terkira dah. Tak lama lepas tu, keluar Musang api, bila masuk tengok guna browser lain, habis hancus page Myspace aku tu. Hahaha.

      Zaman kegemilangan IE ni dah berlalu, sama macam era Myspace. Hehe

TINGGALKAN BALASAN

Mohon masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.