Mulanya aku buat blog ni hanya untuk suka-suka je. Takda niat pun nak jadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan atau gunakan sebagai platform untuk menjadi terkenal bak seorang selebriti. Market blogging Malaysia ni besar mana pun. Nak pulak tulis guna medium Bahasa Melayu.

To Blog or Not to Blog
SAP

Maaflah kalau ada yang membaca tulisan aku ni seperti melemahkan semangat korang untuk berblog. Tapi pendapat aku berikan ni berdasarkan statistik jumlah penduduk Malaysia. Mengikut perangkaan rasmi dari Jabatan Statistik Malaysia, jumlah terkini adalah 29,834,700 orang.

Dari jumlah berkenaan, bukan semua orang di Malaysia ini mudah mendapat akses internet. Jika dapat sekalipun, belum tentu mampu beri komitmen membayar yuran langganan yang tidak sepadan antara harga dan tahap perkhidmatannya. Itu belum ditolak dengan sebahagian rakyat Malaysia yang jarang berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu. Tolak lagi dengan tabiat kurang membaca masyarakat Melayu. Entah berapa peratus lah yang tinggal untuk pasaran Bahasa Melayu di internet ni dari keseluruhan jumlah penduduk Malaysia.

Sebab itulah aku agak skeptikal jika ada yang beranggapan menulis blog adalah jalan mudah untuk mendapat pendapatan sampingan yang lumayan. Alasan bahawa sudah ada penulis-penulis yang sudah berjaya mendapatkannya tu memang aku tak nafikan. Cumanya, jumlahnya tu hanya segelintir sahaja dan bukannya sebahagian besar dari keseluruhan penulis-penulis blog bahasa Melayu.

Ramai yang menaruh harapan besar untuk menjana pendapatan lumayan dari aktiviti blogging ini telah pun kecundang di pertengahan jalan. Ini bukanlah berpunca kepada sikap mereka yang lemah semangat atau mudah berputus asa. Tidak. Ada antara mereka-mereka ini telah pun sedaya upaya cuba meningkatkan trafik ke blog masing-masing melalui pelbagai pendekatan. Namun, tidak banyak yang boleh diharapkan dari pasaran internet bahasa Melayu buat masa ini.

Banyak faktor yang menyumbang terhadap mengapa trafik blog bahasa Melayu agak slow jika dibandingkan dengan trafik yang menggunakan bahasa utama dunia lain seperti English. Selain dari faktor utama masalah akses internet untuk kebanyakan rakyat di Malaysia, faktor budaya dan tahap penggunaan bahasa Melayu itu sendiri turut memainkan peranannya.

Kita tidak seperti bahasa Indonesia yang memiliki bilangan penuturnya yang ramai dek kerana jumlah populasinya mencecah 237 juta jiwa. Apatah lagi penggunaan bahasa Indonesia dikaitkan dengan sejarah perjuangan nasionalisme mereka menentang penjajahan Belanda serta dipasakkan lagi dengan semangat Pancasila. Justeru, tidak hairanlah jika para pembangun sistem-sistem ICT di seluruh dunia sudi menyediakan perisian versi bahasa Indonesia. Pembangun IT seperti Firefox, WordPress, Canonical (Pembangun Ubuntu) adalah antara yang menyediakan aplikasi khusus dalam bahasa Indonesia.

Soal jumlah pengguna bahasa ini amat penting dalam pemasaran internet kerana ia menjadi faktor penentu kepada jumlah kemasukan trafik ke satu-satu laman web. Pastinya, jumlah trafik yang mencanak naik ini akan menjadi pendorong kepada pengiklan-pengiklan untuk menumpang tapak ke laman tersebut. Di mana, ia seterusnya akan menjadi punca kepada penjanaan pendapatan untuk sesebuah laman web atau blog.

Perjalanan untuk meluaskan penulisan blog bahasa Melayu ini sebenarnya masih terlalu jauh lagi. Tambahan pula dalam struktur sosio politik Malaysia, persepsi terhadap dunia penulisan blog seringkali mencapah kerana acapkali dikaitkan dengan politik kepartian. Walhal, penulisan blog ini amat meluas bidang yang boleh dirangkuminya. Bukan sekadar omong-omong politik seperti Tukar Tiub ataupun menjadi tempat menyediakan klip-klip video lucah.

Sehingga itu, mungkin sudah sampai masanya aku menumpukan bidang penulisan aku kepada medium English pula. Pastinya, aku tidak berniat untuk mengubah blog ini menjadi English 100%. Cuma akan membuka ‘kedai’ baru yang menggunakan bahasa bekas penjajah kita itu.

14 KOMEN-KOMEN

  1. Aduhhh.. lemahnye semangat membaca entry ni! hihiii.. tak laa.. Nurul pun tak tau napa Nurul buat blog.. suka berkongsi barangkali.. kalau dapat pendapatan sampingan sure lagi best :)))

  2. Menulis dan terus menulis.. minat yg ada jngn dipersiakan. Saya pun ada blog inggeris yg dah mcm nak mati je.. walaupun mcm tu hari2 tetap ada pengunjung walaupun dah berbulan2 tak update. Menarik juga idea tu… semoga sukses selalu… aamiin.. 🙂

  3. Jika sesuatu penulisan itu original, dan berkualiti pasti pembaca akan suka. Saya sendiri sekarang sedang membina kredibiliti, dan cuba mendapatkan pembaca tegar. Yang bersedia membaca setiap artikel baharu yang dikongsikan.

    Ianya tidak akan datang sekelip mata, perlukan masa untuk menarik pembaca setia.

TINGGALKAN BALASAN

Mohon masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.