Trafik internet dalam minggu lepas dan minggu ini saya jangkakan agak perlahan apabila diberitakan berlaku gangguan kabel Asia-America Gateway (AAG) berhampiran Filipina serta cuti perayaan Tahun Baru Cina. Tentunya, aliran trafik dari Malaysia yang perlahan ini membimbangkan saya dan juga rakan penulis-penulis blog lain.

Tambahan pula, menulis blog menggunakan medium Bahasa Malaysia ini amat bergantung dengan aliran trafik dari Malaysia. Lainlah jikalau pada masa akan datang nanti, Google Translate mampu terjemahkan sebarang artikel Bahasa Malaysia ke sebarang jenis bahasa tanpa sebarang ralat.

Penulis blog di Malaysia sedia maklum dengan tahap penembusan internet di seluruh Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar yang masih lagi rendah. Sudahlah jumlah pengguna internet di luar bandar tidak seramai mana, kadar kelajuan pula tidak sepadan dengan harga yang perlu dibayar. Justeru, sedikit sebanyak ia memberikan kesan terhadap kadar celik IT di kawasan-kawasan luar bandar.

Di bandar-bandar besar pula, walaupun tiada masalah dari segi kelajuan dan rangkuman liputan internet, masalah kadar langganan, tahap kelajuan dan mutu perkhidmatan dari pembekal internet masih lagi menjadi isu pokok. Yuran langganan internet di kalangan majoriti rakyat Malaysia berada pada prioriti paling rendah selepas bil-bil lain seperti Astro, Cukai Pintu, Indah Water, Elektrik dan Air.

Maka, tidak hairanlah apabila hari bekerja, trafik yang masuk ke laman blog saya agak tinggi berbanding hari-hari cuti. Lebih panjang cuti, lebih parah keadaan trafik ke blog saya.

Ini semua bukanlah bermakna saya bencikan cuti. Saya juga sama seperti anda semua yang gemarkan cuti. Cuma, ia menjadi ralat apabila melihat kadar trafik ke laman-laman web – tanpa mengira ianya perbankan, tempahan penerbangan, media sosial, blog – amat tinggi pada hari-hari bekerja. Ia menggambarkan seolah-olah kebanyakan dari kita sebagai rakyat Malaysia ini terpaksa menumpang kemudahan di pejabat atau organisasi untuk mendapatkan akses ke internet.

Saya amat faham mengapa senario begini berlaku memandangkan, saya pun sengkek juga dan pada kebanyakan masa menumpang kemudahan internet di pejabat untuk urusan peribadi.

Setiap bulan, saya akan membelanjakan RM30 untuk pra-bayar internet mudah alih. Pada jumlah ini, saya hanya mendapat kuota 1.0 GB sahaja untuk tempoh 30 hari. Itupun, kerap juga internet saya kehabisan kuota sebelum cukup tempoh.

Perkara-perkara sebegini tentunya memerlukan kesabaran yang tinggi memandangkan tahap perkembangan teknologi IT di Malaysia secara keseluruhannya, pada hemat saya, masih lagi diperingkat bertatih. Jurang teknologi antara golongan yang tinggal di bandar dan kawasan luar bandar masih lagi lebar sekalipun ianya telah didekatkan dengan penggunaan telefon pintar yang kian hari semakin murah.

Namun, untuk pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam penyediaan kandungan kreatif digital seperti penulis blog, pemuzik atau pembikin video Youtube, pelukis komik online, pereka bentuk laman web dan lain-lain yang bertindak secara indie tanpa bantuan dari organisasi, hala tuju kita masih lagi jauh jika ingin mewujudkannya sebagai satu industri. Malah, mungkin jalan yang ingin dituju itu juga sangat berliku dan bersimpang siur dengan pelbagai dugaan yang tidak dijangkakan.

Telahan dari pihak-pihak yang mengatakan mudah untuk menjana pendapatan hasil dari aktiviti atas talian seperti menulis blog dan lain-lain, kini saya anggap seperti satu bentuk jenaka. Saya cuma mampu tersenyum sahaja memandangkan, dalam dunia ini, tiada perkara yang mudah jika  kita ingin mencapai sesuatu yang diidamkan. Selain usaha dan doa untuk kita berjaya dalam apa jua bidang yang kita pilih, kita juga perlukan ruang dan peluang.

Masalah yang sering dihadapi selepas usaha yang tidak jemu dan doa yang tidak putus-putus adalah, ruang dan peluang untuk membawa diri kita melangkah jauh. Ketika inilah ramai yang kecundang kerana bukan semua orang dikurniakan tahap kesabaran yang sama tinggi.

Oleh itu, pada pendapat saya, ruang dan peluang untuk pembikin kandungan kreatif digital seperti penulis blog dan pengkarya digital lain ini terletak pada seberapa ramai jumlah rakyat Malaysia mempunyai akses ke internet pada harga yang berpatutan.

Sehingga kita mampu mencapai peluang tersebut, pilihan terbaik yang kita adalah banyakkan bersabar. Sama ada mahu bersabar dengan tahap kelajuan internet atau kadar bayarannya yang cekik darah, itu terpulang.

Paling tidak pun, jika ada kesempatan, gunakan kemudahan yang ada di pejabat atau organisasi masing-masing. Itupun, bergantung juga dengan sejauh mana tahap kesabaran majikan kita apabila dapat tahu kemudahan pejabat telah disalahgunakan.

Imej diperoleh dari Amanz.my

19 KOMEN-KOMEN

  1. memang betul sangat pun. aku sendiri nak jimat punya pasal, guna wifi ofis yang laju macam petir ni. nak pakai data sandiri, belum setengah bulan dah langgar dinding. mahalnya kemain, tapi tak berapa laju…

  2. HEH..HEH..INTERNET LEMBAB CAM SIPUT YER…HARGA LANGGANAN LINE ICT NI MMG PERLU DIRENDAHKN LAGI JIKA NEGARA BERNIAT MNJADIKAN RAKYATNYA CELIKT IT N BERMENAFAAT MNGGUNAKANNYA….

    • Haha. Tengkiu, tengkiu. Internet kat Malaysia ni memang menyakitkan hati. Patutnya, bila kita nak capai negara berpendapatan tinggi ni, soal kelajuan dan akses internet tu perlu dititik beratkan terlebih dahulu.

  3. Kes internet yang lembab di Malaysia menyebabkan kadang-kadang saya rela online masa hujan lebat kilat sabung-menyabung kerana masa tu ramai orang tutup komputer desktop dan laptop sebab takut nak online 🙂

  4. Memang internet kebelakangan ini semakin menjadi masaalah. Lembap tahap siput.
    Cuma mungkin saya tak terasa sangat dengan masaalah trafik itu kerana saya hanyalah
    blogger picisan. Saya hanya up date blog waktu bekerja (malam).
    Waktu cuti…..sama – blog saya ikut cuti juga hehe…

  5. saya berbelanja RM60 ++ sebulan untuk internet..ada hasil atau tidak saya tutup mata sahaja…

    memang benar selalu gangguan juga kepada internet yang saya langgan

TINGGALKAN BALASAN

Mohon masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.